KOMENTATOR Ultimate Fighting Championship (UFC), Joe Rogan memberi ‘tabik hormat’ kepada petarung-petarung MMA beragama Islam.
Penghormatan itu diberikan ketika dia dalam siri podcast Joe Rogan Experience yang disiarkan pada Ogos lalu.
Dalam rancangan tersebut, Joe Rogan telah berbincang mengenai pengaruh agama dalam sukan seni mempertahankan diri (MMA) lebih-lebih lagi dalam kalangan atlet-atlet beragama Islam.
Dia menjadikan Khabib Nurmagomedov sebagai penanda aras yang dianggap sebagai salah seorang atlet terbaik dalam sejarah MMA.
Bersama Mike Baker, Joe Rogan mengemukakan beberapa sebab mengapa petarung asal dari Dagestan itu sangat luar biasa.
Dia mengaitkan disiplin dan kehadiran dominan mereka dalam gelanggang dengan komitmen terhadap kepercayaan agama.
Menurut Joe Rogan, atlet-atlet dari Dagestan itu disifatkan sangat berdedikasi malah, mereka juga dapat mengatasi ‘gangguan-gangguan’ daripada luar dengan kepercayaan mereka.
Jelasnya, atlet-atlet MMA yang beragama Islam biasanya dapat mengelak gangguan yang sukar ditundukkan atlet-atlet lain iaitu menahan diri daripada berparti secara berlebihan.
Pada masa sama, fokus mereka hanya tertumpu kepada kepercayaan terhadap agama yang kukuh, ikatan kekeluargaan yang rapat serta rejim latihan yang dahsyat.
"Perkara yang mereka pentingkan ialah keluarga, agama, latihan. Mereka tidak berfoya-foya dan tidak mengambil minuman beralkohol," jelasnya.
Selain itu, Rogan turut memberikan pandangan terhadap nilai agama dalam kehidupan bagi kebanyakan manusia.
Dia mengakui terdapat banyak faedah yang tidak dapat dinafikan seperti struktur dan tujuan hidup, penekanan terhadap sifat perpaduan yang dapat dipupuk melalui ketaatan terhadap agama.
Khabib Nurmagomedov. — Agensi
Rogan bersetuju bahawa faktor kemiskinan juga mungkin menjadi pendorong untuk atlet-atlet beragama Islam seperti mereka menginginkan kejayaan.
Namun begitu, Rogan berkata, walaupun sudah menjadi kaya-raya, atlet seperti Khabib Nurmagomedov masih berpegang teguh kepada kepercayaan dan nilai agamanya.
“Khabib seorang yang sangat kaya-raya. Tetapi dia masih memilih untuk memandu trak Toyota.
“Maksud saya, dia masih memilih untuk tinggal di rumah yang sama. Dia kekal berpegang teguh dengan kepercayaannya dan begitu komited melatih atlet-atlet lain," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram