[VIDEO] Bantu kejutkan KL Thunders, tekong NS Antlers dicanang pengganti Syahir Rosdi


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Haziq mempunyai potensi cerah untuk menjadi tekong utama pasukan negara yang kini dimiliki Syahir. — Facebook/STL

KEKALAHAN mengejutkan dialami Kuala Lumpur (KL) Thunders dalam hari pembukaan GP (Grand Prix) Terengganu ketika mereka berdepan Negeri Sembilan Antlers pada Selasa.

Selepas memulakan aksi dengan langkah kanan menerusi keputusan 15-10, kelab Lembah Klang itu terpaksa menelan kekecewaan pada set kedua setelah mereka tewas 11-15.

Keputusan itu menyaksikan KL Thunders yang dibarisi pemain kebangsaan gagal meneruskan rentak cemerlang berikutan kejayaan menjuarai GP Selangor tempoh hari.

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Keberanian tukar tekong utama tuai hasil, Perak Bison mula langkah kanan

BACA LAGI: Ambil iktibar STL musim 2024, Sabah Mountaineer enggan buat persiapan 'last minute'

Alhamdulillah . This is only the beginning  ️ . Keep up the great teamwork . @official_klthunder @stl.my

Syahir sudah bertahun-tahun bergelar tekong KL Thunders dan pasukan negara. Instagram/Syahir Rosdi

Bagaimanapun, kekalahan berkenaan masih boleh diterima ramai apabila tekong Negeri Sembilan Antlers, Haziq Hairul Nizam tampil dengan aksi cemerlang buat pasukannya.

Hal itu diakui rata-rata pengikut setia KL Thunders yang berasakan pemain berusia 21 tahun itu memiliki masa depan cerah untuk diserap ke dalam pasukan negara pada masa akan datang.

Malah, masing-masing juga beranggapan dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab berat tersebut sekiranya Syahir Rosdi menamatkan karier dalam masa terdekat.

"Sememangnya Haziq layak. Boleh dilihat semasa Negeri Sembilan bangkit dari ketinggalan jauh semasa GP Selangor tempoh hari. Bukan senang untuk masing-masing menyesuaikan diri dalam sistem mata 15 ini.

"Cuma dia perlu baiki sedikit untuk angkat first ball semasa wakili negara. Semoga Haziq boleh jadi lebih mantap dan jadi aset pasukan negara. Tahniah Negeri Sembilan untuk perlawanan ini, sangat kompetitif," kata Mazliah Seniwal.

"Syahir rasanya dah boleh berasa lega, sudah ada penggantinya," kata Norhasni.

"Memang terbaik tengok Haziq bermain tadi sehinggakan Syahir sendiri berikan isyarat 'thumbs up' kepadanya," kata Yudi Sarah.

Kecemerlangan itu menyaksikan pemain berketinggian 1.98 meter berkenaan diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dengan orang ramai yakin momentum tersebut boleh diteruskan.

Sekiranya prestasi terbabit dapat ditampilkan, tiada halangan bagi Negeri Sembilan Antlers memperbaiki kedudukan akhir dalam GP Terengganu selepas hanya menamatkan saingan di peringkat suku akhir pada GP Selangor tempoh hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram