Dua gol kaki kiri 'budak ajaib' JDT hampir buat Juara Liga Super China terduduk di gelanggang sendiri


  • Podium
  • Rabu, 18 Sep 2024

Jaringan Arif Aiman membolehkan JDT mendahului Shanghai Port FC 1-0 dalam aksi separuh masa pertama pada Rabu. — Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya mencipta kejutan apabila mengikat Shanghai Port FC 2-2 dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Pudong, Shanghai, China pada Rabu.

Jaringan skuad Harimau Selatan dihasilkan pada penghujung aksi 45 minit pertama menerusi kaki kiri bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi yang menggelecek melepasi tiga pemain lawan untuk masuk dari arah kanan padang ke tengah sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol lawan, Yan Junling.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang menerusi beberapa peluang keemasan yang dicipta.

Bagaimanapun, tuan rumah yang turut dibarisi bekas bintang Brazil, Oscar di posisi tengah menyerang dilihat lebih tenang dalam menguasai perlawanan dan merancang gerakan berbahaya ke kubu pelawat.

460576111_1095873831908592_4494744191234669847_n

Kesebelasan utama skuad JDT dalam aksi pertama ACLE pada Rabu. — Johor Southern Tigers

Sejurus bermulanya babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila penyerangnya Gustavo berjaya menolak masuk bola muntah di hadapan pintu gol pada minit ke-48.

Berselang tujuh minit, Arif Aiman bagaimanapun berjaya meletakkan JDT di hadapan apabila mencetak gol kedua selepas menggelecek melepasi seorang pertahanan lawan sebelum sekali lagi menewaskan Junling.

Kelebihan itu kemudiannya dipadamkan oleh penyerang import Shanghai Port FC, Willian Popp hasil situasi kelam kabut di hadapan pintu gol ekoran daripada sepakan percuma yang diambil Oscar betul-betul di bahagian kiri kotak penalti.

Usaha pasukan tuan rumah yang turut dibarisi nama besar termasuk bintang skuad kebangsaan China yang juga penjaring terbanyak Liga Super China Wu Lei bagaimanapun gagal untuk mencari gol kemenangan yang diidamkan bagi memungut tiga mata di gelanggang sendiri.

Dua jaringan gol daripada Arif Aiman yang terhasil daripada kaki kirinya yang merupakan bukan kaki dominan pemain itu ternyata mendapat perhatian penyokong JDT yang teruja melihat keyakinan ditonjolkan bintang sensasi negara itu untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia.

"Satu budak ajaib. Hasil umpanan daripada sang Gorgon (Jorge Obregon)", tulis Faizal Fauzer.

"Import banyak-banyak itu cuma nak mengaburi pemain Shanghai sahaja. Silent killer sebenarnya ialah AA42 (Arif Aiman)," ujar Mhd Fakhriy.

JDT akan meneruskan aksi ACLE bertemu Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 1 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram