SEJAK dua hari lalu, isu mengenai langkah untuk mengembalikan semula peperiksaan bagi murid Tahun 6 di sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 3 di sekolah menengah kembali hangat diperbincangkan.
Perkembangan itu berlaku susulan cadangan yang dilontarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu ucapan pada Ahad, beliau yang juga Presiden Umno berkata, dasar pendidikan negara yang tidak mewajibkan peperiksaan ke atas pelajar di peringkat dua usia berkenaan perlu dirombak.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Menurutnya, cadangan itu dilakukan antara lain kerana didapati terdapat berlaku keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).
Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil perbincangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum ini.
Untuk rekod, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022.
Sistem peperiksaan itu digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Dalam pada itu, cadangan tersebut turut mendapat respons daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bersetuju terhadap cadangan untuk mengembalikan semula UPSR.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, langkah pemansuhan UPSR sebelum ini menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Disebabkan itu, beliau berkata, perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras supaya dapat mengukur keupayaan sebenar murid sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.
“Pengalaman di MARA, apabila UPSR dimansuhkan, dapat lihat penurunan drastik pencapaian UKKM iaitu Ujian Kemasukan ke MRSM terutamanya bagi pelajar-pelajar luar bandar dan yang berpendapatan rendah. UPSR kaedah lama, kecemerlangan tidak terhad kepada akademik sahaja.
“Sebab itulah apabila saya diamanahkan menjadi Pengerusi MARA, saya cuba melakukan intervensi membantu dengan mengadakan bengkel khas dan tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar melalui Yayasan Pelajaran MARA bagi memastikan pelajar miskin dan daif luar bandar juga berupaya menjawab UKKM dengan baik dan berjaya masuk ke MRSM," ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Di ruangan komen, Asyrat turut berkongsikan berita mengenai pendirian kerajaan Sarawak pada tahun lalu memperkenalkan ujian mirip UPSR sendiri jika Kementerian Pendidikan (KPM) masih kekal berpendirian untuk tidak mengadakan kembali ujian berpusat seperti UPSR.
"Bagi Kerajaan Sarawak, UPSR penting untuk menilai keupayaan pelajar yang sebenar. Bagi pandangan saya moleklah seluruh Malaysia mengadakan satu sistem peperiksaan yang sama dan terselaras. Jika masing-masing negeri ada sistem peperiksaan sendiri lagi haru-biru," ujarnya.
Asyraf menambah, pelajar tidak wajar dijadikan umpama ‘tikus uji kaji’ yang boleh diperlakukan sesuka hati seperti bahan eksperimen dalam merangka dasar dan acuan pendidikan negara.
"Patutnya sistem pendidikan terus kekal tidak kira siapapun jadi Menteri. Kalau nak ubah dari segi rangka perlaksanaan atau menamba baik dan memperkemaskan aspek perlaksanaan, itu okey," jelasnya yang turut mengkritik pelaksanaan dasar pendidikan yang tidak melihat kepada aspek lebih holistik meliputi keupayaan dan juga kesannya kepada pelajar.
Di ruangan komen, rata-rata daripada warganet turut mempunyai pandangan yang senada dengan Asyraf berhubung keperluan untuk mengembalikan semula UPSR.
"Betul tu, UPSR perlu dikembalikan. Bila ada peperiksaan, barulah pelajar ada matlamat dan fokus mengejar kecemerlangan dalam pelajaran," tulis Muhammad Faiz Hashim.
"Benar. Sukar nak menilai pelajar masuk ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh), MRSM dan lain-lain. Prestasi pelajar menurun, tidak macam generasi senior," kata Abdel Rahmanov.
Pada masa sama, terdapat juga netizen yang berpandangan bahawa langkah mengembalikan bukan penyelesaian terbaik terhadap masalah dihadapi sistem pendidikan negara.
"Saya antara yang berpandangan pembelajaran tanpa memfokuskan peperiksaan di tahun enam cukup baik. Anak-anak melalui fasa awal pembelajaran tanpa tekanan peperiksaan menjadikan mereka lebih enjoy belajar, melibatkan diri dalam kokurikulum seperti bersukan, berpidato, perkhemahan dan lain-lain dalam melahirkan kemenjadian pelajar.
"Anak-anak terlalu awal digredkan mereka budak pandai, budak kurang cemerlang bila sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan UPSR. Bukan semua ibu bapa mahukan anaknya masuk MRSM dan SPB yang sebelum ini keputusan UPSR dijadikan sandaran kelayakan.
"KPM boleh perkasa langkah penguasaan 3M tanpa mengembalikan peperiksaan yang telah dimansuhkan. Insya-ALLAH jika ada kesungguhan akan temui jalan keluar," kongsi Azam Mektar.
"Buatlah sistem apa pun, semua sistem ada baik buruknya. Masalahnya sekarang ini daripada peringkat atas pun macam tak jelas nak buat apa, nak bangunkan apa. Mansuhkan UPSR, PMR, tapi tiada perubahan. Budak-budak belajar dan cikgu mengajar sama saja.
"Silibus makin rumit. Tadika format lain. Masuk darjah satu, sekolah kebangsaan format lain. Sekali skala kena dengar pendapat guru yang secara langsung berhubungan dengan pelajar.
"Nak mula semula balik UPSR bagus juga, tapi minta kementerian pendidikan kaji balik, sebab apa sebelum ni mansuh UPSR, berkesan ke tak? Takkan nak pakai konsep tukar menteri tukar sistem," soal Azri Mahsan.
Cadangan untuk mengembalikan semula UPSR turut pernah dilontarkan oleh kumpulan ibu bapa sebelum ini. — Gambar hiasan
Mengulas mengenai cadangan peperiksaan berkaitan Tahun 6 dan Tingkatan 3 yang dikemukakan Ahmad Zahid, Fadhlina berkata, perkara tersebut mungkin akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
Menurut Fadhlina, langkah itu diambil antara lain bertujuan bagi melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap sistem pendidikan negara.
“Kita juga sedang menilai persiapan untuk pelan pembangunan pendidikan baharu kerana pelan pembangunan pendidikan sedia ada berakhir pada 2025, begitu juga pelaksanaan kurikulum baharu yang akan berlangsung pada 2027.
"Jadi, saya fikir proses penambahbaikan dan reformasi pendidikan itu sedang berjalan," ujarnya.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi sememangnya menyedari punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu serta sedang dalam perbincangan mengenai perkara itu.
Untuk rekod, Fadhlina pada Oktober tahun lalu menegaskan bahawa KPM tidak akan mengembalikan semula UPSR dalam masa terdekat walaupun menerima banyak permintaan daripada kalangan ibu bapa.
Sebaliknya, beliau berkata, tumpuan sedang diberikan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 selain agenda jelajah jerayawara pendidikan masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram