KEMUNCULAN pertama penyerang kebangsaan Jordan, Ali Olwan ketika perlawanan Liga Super musim ini menyaksikan Selangor FC lebih garang ketika menentang Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat.
Debut cemerlang penyerang baharu Gergasi Merah itu sekali gus memberi harapan besar buat Selangor FC untuk bersaingan lebih sengit di Liga Malaysia.
Import baharu Selangor itu mencuri tumpuan para penonton termasuk penyokong kelab apabila berjaya membuat gol pertamanya dalam aksi tersebut.
BACA LAGI: Angkara gol debut Ali Olwan, Kuching City terciduk sampai tukar keeper
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai sebak bumbung Stadium Shah Alam akhirnya runtuh, tak sabar nantikan rupa baharu KSSA
Debut pertama Ali Olwan dalam aksi Liga Super menentang Kuching City pada Jumaat. — Selangor FC
Selain Olwan, tiga lagi pemain import Gergasi Merah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas Ronnie Fernandez, Umar Eshmurodov dan Alvin Fortes menghadiahkan tiga mata buat tuan rumah.
Dalam aksi itu juga, skuad Gergasi Merah dilihat menebus kekecewaan berikutan kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika perlawanan akhir Piala FA dengan kemenangan 4-0 ke atas Kuching City.
Melihat kemampuan pemain berusia 24 tahun itu, ia membuatkan ramai penyokong Gergasi Merah berharap untuk melihat prestasinya di perlawanan akan datang.
Rata-ratanya juga percaya bahawa posisi Olwan mampu mengatasi masalah ketumpulan di bahagian serangan Selangor.
Para penyokong justeru meletakkan sandaran kepada pemain import itu lebih-lebih lagi apabila bertemu JDT atau Terengganu dalam aksi akan datang.
"Tahniah, boleh dah menjadi gol pun cantik. Impak Olwan pun cepat tiga depan tu dah cun, yang penting gol," komen Faizul Rais.
"Tak sabar jumpa JDT lagi nanti," kata Addy Hairin.
Untuk rekod, Ali Olwan pernah menjadi seorang daripada pemain utama buat skuad kebangsaan Jordan sejak berusia 21 tahun dan membuat 42 penampilan serta beraksi dalam 32 perlawanan termasuk ketika kejohanan Piala Asia 2023.
Kehadirannya juga dijangka bakal menguatkan lagi jentera serangan Selangor yang kini berjaya mengumpul 22 mata selepas 10 perlawanan.
Selangor juga akan berdepan dengan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 28 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram