Kes siak rotan budak masa solat Jumaat di Gombak selesai cara baik, ibu bapa tetap desak letak jawatan


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Seorang kanak-kanak dirotan ketika mengikuti bapanya menunaikan solat Jumaat minggu lepas.

KES seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dirotan oleh ahli jawatankuasa masjid (AJK) ketika mengikuti ayahnya menunaikan solat Jumaat pada 30 Ogos lalu selesai dengan cara baik.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Arifin Mohammad Nasir berkata, polis mengesan kes tular di media sosial sejak Khamis melibatkan kanak-kanak terbabit di sebuah masjid di Gombak, Selangor.

"Seorang pengadu lelaki tempatan berumur 39 tahun menarik semula laporan polis yang dibuatnya pada tarikh tersebut dan menyelesaikan perkara itu secara baik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Trauma budak, patut datang masjid diraikan', ibu dedah anak kena rotan masa solat Jumaat

BACA LAGI: [VIDEO] Abang bas muat naik video murid sekolah dicekup polis pepagi buta di Simpang Renggam

458224613_8180959941980809_1311457988590767995_n

Tangkap layar mesej ibu bapa kanak-kanak terbabit menyatakan bahawa AJK masjid tersebut sudah meminta maaf atas tindakannya. — Facebook

Meskipun begitu, kes tersebut masih menjadi bualan ramai termasuk golongan ibu bapa yang masih tidak berpuas hati terhadap tindakan AJK Masjid berkenaan.

Rata-ratanya juga dilihat mendesak agar pihak masjid melucutkan jawatan AJK terbabit kerana bimbang sekiranya kejadian sama berulang kembali.

"Buat malu ja umat. Biar kena pecat tok siak ganti lain," tulis Mu'adz Abd Rahman.

"Masukkan dalam mahkamah sekali, bagi dia rasa sakit," komen Thirunavukkarasu Karasu.

Bukan itu sahaja, ada juga yang memberi saranan agar para AJK lain menggunakan cara sesuai untuk mendidik atau menegur kanak-kanak di masjid.

"Nak libas tu pun agak-agaklah, janganlah yang tak berdosa kena. Nanti elok-elok dia rajin pergi masjid solat terus sentap!

"Tak patut, Islam tu bukan agama yang ganas. Mendidiklah dengan berhemah," ulas Noridzin Bt Idris.

Terdahulu, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut memuat naik hantaran meluahkan keberangannya terhadap tindakan AJK terlibat yang menyebabkan kecederaan pada anggota badan anaknya.

Menerusi hantarannya itu, Risalizah Manaf mendedahkan perkara yang berlaku kepada anaknya itu sewaktu menjejakkan kaki ke masjid di kawasan Gombak buat pertama kalinya untuk solat Jumaat.

Risalizah turut mendedahkan bahawa AJK berkenaan dipercayai berusia 45 tahun sering bertindak sedemikian bagi mengelak kanak-kanak yang berada di masjid berbuat bising. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram