[VIDEO] Abang bas muat naik video murid sekolah dicekup polis pepagi buta di Simpang Renggam


  • 112
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Tangkap layar seorang pemandu bas sekolah memuat naik video murid sekolah di dalam kenderaan itu di media sosial.

SEORANG pemandu bas lelaki yang memuat naik video murid sekolah di media sosial sebelum ini, sudah ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 pagi.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan pemandu terbabit untuk memuat naik hantaran di akaun TikToknya.

BACA LAGI: Langgar akta kanak-kanak, pemandu lelaki muat naik video dengan kapsyen 'crush' berdepan tindakan tegas

BACA LAGI: [VIDEO] PERKESO tak kompromi, akan rombak proses tuntutan palsu faedah HUK di hospital susulan kes kartel doktor di P.Pinang

Katanya, polis mengesahkan sudah menerima laporan dan siasatan berhubung penularan rakaman memaparkan wajah kanak-kanak di dalam bas tersebut sedang disiasat.

"Suspek memuatnaik rakaman video ke akaun media sosial TikTok dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Lelaki tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, video tular itu meraih perhatian ramai sekali gus menerima gesaan untuk dilaporkan kepada polis oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada Khamis, Menterinya, Nancy Shukri mengarahkan pegawai dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak membuat laporan polis serta bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

Nancy berkata, tindakan lelaki terbabit sememangnya tidak boleh diterima dan tidak seharusnya dinormalisasi kerana berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah melanggar hak dan privasi kanak-kanak itu di bawah Akta Kanak-Kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram