'Trauma budak, patut datang masjid diraikan', ibu dedah anak kena rotan masa solat Jumaat


  • Tular
  • Khamis, 05 Sep 2024

Seorang kanak-kanak dirotan ketika mengikuti bapanya menunaikan solat Jumaat pada Jumaat lepas.

SEORANG wanita kesal apabila anaknya dirotan oleh ahli jawatankuasa masjid (AJK) ketika mengikuti suaminya untuk menunaikan solat Jumaat baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Risalizah Manaf mendedahkan perkara yang berlaku kepada anaknya itu sewaktu menjejakkan kaki ke masjid di kawasan Gombak, Kuala Lumpur buat pertama kalinya.

"Pertama kali (anak) solat Jumaat situ, tetapi dapat pengalaman tak best pulak. Tak pasal-pasal kena libas dengan siak sewaktu rakaat pertama," katanya.

BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan

BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim

Bukan perkara janggal, Risalizah turut mendedahkan bahawa AJK berkenaan dipercayai berusia 45 tahun sering bertindak sedemikian bagi mengelak kanak-kanak yang berada di masjid berbuat bising.

"Rupanya sebelum siak itu masuk saf, dia memang akan rotan sahaja secara random dekat budak sebagai amaran supaya budak lain tak bising.

"Dia risau bila sudah masuk saf nanti tiba-tiba ada budak yang bising atau lari. Tak sangka pula yang kena libas itu anak saya," katanya.

Katanya lagi, kebiasaannya, suami dan anaknya itu pergi menunaikan solat di masjid yang lain, namun disebabkan cuti persekolahan, mereka berdua berhasrat untuk pergi ke masjid berkenaan.

"Anak cuti sekolah, jadi suami saja bawa ke masjid itu, memandangkan imam itu kawan kepada suami saya," katanya.

Apabila menunjukkan kesan birat itu kepada imam masjid berkenaan, Risalizah diarahkan untuk membuat laporan polis.

"Sebab katanya ini bukan pertama kali orang mengadu anak dia kena libas macam itu.

"Tetapi tiada seorang pun buat laporan. Alang-alang suami saya ini kawan imam situ, apa lagi kena paksalah buat laporan ke balai," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bimbang perkara sedemikian berlaku kepada anak kecil mereka.

"Mungkin banyak lagi siak itu kena belajar bab ni. Cara dia itu buat anak-anak trauma nak pergi masjid.

"Nak tegur boleh, tapi ada cara pendekatannya dengan budak-budak. Kalau dah kena libas gini, memang lepas ni tak ada budak la nak pergi surau tu," kata Zara Zaza.

"Trauma budak. Patut diraikan anak-anak datang ke masjid bukan beri pengalaman ngeri. Tak patut buat macam itu," kata Efa Nurain.

Difahamkan, laporan polis sudah dibuat, namun, Risalizah dan suami menarik semula kes tersebut.

"Afnan (anaknya) tak sampai hati, nangis-nangis sampai keluar air mata. Saya pun sejenis tak sampai hati.

"Kes sudah ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun, ramai warga maya tidak berpuas hati apabila pasangan suami isteri terbabit bertindak menarik semula kes tersebut.

"Sepatutnya tidak perlu tarik kes kak. Saya tengok anak akak pun kesian... Pedih.. Ya ALLAH anak nak solat dilibas macam itu, kita yang sedih," tulis Nuramalina Ismail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram