Jadi hero tewaskan Korea Utara, terimalah hakikat Selangor ‘menang besar’ sign Ali Olwan


  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

Selangor membuat pilihan tepat dengan menandatangani Ali Olwan selepas dia meledak dua gol ke atas Korea Utara. — Instagram/AliOlwan

PEMAIN import baharu Selangor FC, Ali Iyad Ali Olwan membuktikan ketajamannya sebagai penyerang apabila berhasil membantu Jordan menewaskan Korea Utara dalam aksi persahabatan tertutup baru-baru ini.

Ia merupakan aksi persahabatan kedua antara skuad The Chivalrous Ones dan pasukan Chollima selepas kedua-duanya terikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pada 28 Ogos lalu.

Penyerang berusia 24 tahun berkenaan membuktikan ketajamannya di hadapan gawang dengan meledakkan dua gol buat pasukan negaranya, manakala Chollima membawa pulang satu gol saguhati sahaja.

BACA LAGI: Syafiq Ahmad mahu buktikan masih berbisa bersama HM, anggap bintang Sabah-KL City pesaing '1st Eleven'

BACA LAGI: Skuad Jang terima nafas baharu, bekas tonggak KL City disebut dalam radar NSFC

Kemenangan ke atas skuad kendalian Sin Yong-nam itu dilihat boleh menyuntik semangat skuad Jordan menjelang dua perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan B.

Pasukan kendalian Jamal Sellami dijadualkan akan menentang Kuwait pada 5 September dan selepas itu akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi perlawanan persahabatan menentang Palestin pada 10 September.

Walaupun belum lagi tampil dalam perlawanan rasmi bersama skuad Gergasi Merah namun dua gol yang dicetak pada aksi antarabangsa itu membuktikan Selangor membuat pilihan tepat dengan menandatangani Ali Olwan.

Pemain berketinggian 1.84 meter itu dibawa masuk secara percuma dari pasukan di Qatar, Al-Shamal SC dengan Ali Olwan difahamkan akan memakai jersi bernombor 90 bersama Gergasi Merah pada musim ini.

WhatsApp Image 2024-09-02 at 21.33.16 (1)

Tangkap layar keputusan Jordan menentang Korea Utara.

Prestasi cemerlangnya bersama Jordan memberi petanda bahawa Ali Olwan boleh menjadi watak utama untuk membantu Selangor di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) yang akan bermula pada September.

Ali Olwan dilihat sebagai seorang penyerang variasi apabila boleh beraksi di tiga posisi serangan iaitu sayap kiri, sayap kanan, serta penyerang utama sudah tentu akan digunakan sebaik mungkin oleh Nidzam Jamil bagi aksi mendatang.

Untuk rekod, sejak debut Ali Olwan bersama Jordan dia telah tampil dalam 41 perlawanan dengan 12 jaringan gol serta dua hantaran bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram