Ulangi skrip 2023, JDT buat Kedah terseksa, gol roket Bergson pasti jadi igauan


  • Podium
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Antara aksi perlawanan Liga Super antara JDT dan KDA FC.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) FC terus 'menyeksa' Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mudah menewaskan pasukan pelawat dengan jaringan 6-0 dalam aksi kelapan Liga Super 2024/25.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan ini berlangsung selepas seminggu mereka bertemu dalam saingan Piala FA yang menyaksikan JDT mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Selangor FC dengan kemenangan 5-1 secara agregat.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), JDT membuka tirai jaringan menerusi tendangan roket Bergson da Silva pada minit kelapan perlawanan menewaskan penjaga gol Sang Kenari, Kalamullah Al-HAfiz.

Kealpaan benteng pertahanan Sang Kenari pada minit ke-35 berjaya dimanfaatkan oleh skuad Harimau Selatan selepas Bergson sekali lagi menampan masuk bola ke pintu gawang pelawat.

Antara aksi yang mencuri tumpuan dalam perlawanan itu adalah kesilapan mudah yang dilakukan oleh pertahanan Sang Kenari, Akmal Zahir yang membenarkan Bergson mencetak gol kedua buat JDT.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka 2024 mungkin sunyi, 3 Ultras negeri nekad boikot kejohanan FAM

BACA LAGI: Lepas ultras Pahang, Sabah 'join' boikot Pestabola Merdeka, hanya BOS sandaran beri semangat untuk HM

WhatsApp Image 2024-08-09 at 20.39.35

Bergson membantu Harimau Selatan mencetak hatrik pada babak pertama perlawanan bertemu KDA FC. Facebook/JDT

Bersambung babak kedua, mimpi ngeri terus dialami Kedah selepas gawang mereka terus ditekan tuan rumah yang dahaga mendapatkan lebih banyak gol.

Ini selepas Bergson meraih hatrik apabila dia menghukum benteng pertahanan dan Kalamullah menerusi penyudah cukup baik.

Tidak lama selepas itu, giliran bek muda mereka, Feroz Baharudin meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas kealpaan bek pelawat menyaksikannya berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol untuk meraih gol keempat skuad Harimau Selatan.

Selepas itu, pemain yang baru sahaja dimasukkan, Murilo Henrique pula menggegarkan jaring Sang Kenari menerusi penyudah berkualiti dengan benteng pertahanan Kedah kelihatan cukup terkesan dengan gol itu

Malam suram Kedah diteruskan selepas kekalutan benteng pertahanan menyaksikan Afiq Fazail menjadikan kedudukan 6-0 berpihak kepada mereka.

WhatsApp Image 2024-08-09 at 22.19.55

Sebahagian aksi menarik ketika Ebenzer Assifuah (tengah) cuba merampas bola daripada pemain JDT. Facebook/JDT

Keputusan tersebut menyaksikan kekalahan teruk Kedah musim lalu berulang dengan mereka pasti terus tertekan untuk meneruskan saingan Liga Super 2024/25.

Keputusan ini meletakkan JDT mengumpul 22 mata, sekali gus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Selangor yang menduduki tempat kedua dengan 13 mata.

Kedah pula tersungkur ke tangga kesembilan liga dengan kekal tujuh mata selepas tujuh perlawanan sekiranya Sri Pahang FC menang ke atas Sabah FC.

JDT terus melebarkan rekod kebal di laman sendiri pada musim ini selepas lapan perlawanan, sekali gus terus mengungguli carta liga dengan misi memburu kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.

Kedah pula terpaksa menambah 'detik hitam' dalam senarai mereka bumi Johor untuk tempoh 13 tahun berturut-turut tanpa mencatatkan kemenangan di negeri itu.

Kali terakhir Kedah menang ke atas JDT ketika saingan Liga Super pada 2011 apabila menang dengan keputusan 1-0.

Sejak itu, Kedah gagal menawan bumi Johor dengan mengalami rentetan kekalahan demi kekalahan termasuk yang paling besar pada musim lepas dengan skor sama direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram