SELEPAS dua bulan mengalami kecederaan serius berikutan serangan simbahan asid, Faisal Halim sudah semakin hampir untuk kembali beraksi buat Selangor FC.
Dalam aksi Piala FA pada Sabtu lalu, pemain sayap berkenaan diletakkan pengendali, Nidzam Jamil di bangku simpanan ketika kelab Lembah Klang tersebut menerima kunjungan Terengganu FC.
Walaupun tidak dimasukkan sepanjang perlawanan, kehadirannya jelas membawa satu suntikan semangat apabila skuad Gergasi Merah berjaya menempah slot ke pentas akhir Piala FA.
BACA LAGI: Stadium jadi titik mula, penyokong Selangor FC terap budaya bersihkan sampah setiap kali lepas game
BACA LAGI: Nidzam terima hakikat menang semata-mata belum cukup buat Selangor FC
Brendan Gan pernah mengalami kecederaan ACL dan kanser ketika di skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, masih timbul persoalan mengenai masa depan penyerang kebangsaan tersebut dalam kem Selangor FC memandangkan keadaannya belum cukup mengizinkan.
Berdasarkan kepingan foto dimuat naik, parut di wajah dan kedua-dua tangannya masih jelas dengan beberapa prosedur kesihatan seperti masih perlu dilaluinya.
Hal itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong yang tertanya-tanya mengenai kos perubatan perlu ditanggung Faisal sejak mengalami serangan tidak bertanggungjawab tersebut.
Tetapi, bagi pengikut tegar skuad Gergasi Merah, mereka seakan-akan faham bahawa Selangor FC tidak pernah membiarkan pemain pasukan tersebut terabai sepanjang berada dalam proses pemulihan.
Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan legenda sepanjang zaman buat Selangor FC.
Menerusi komen ditinggalkan pengguna Facebook Azhari Wahab, kelab itu pernah memberi rawatan terbaik buat bintang terdahulu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Brendan Gan.
"Pemain Selangor, insya-ALLAH kelab akan jaga. Arwah Moktar dahulu pun sakit misteri, kelab jaga. Amri Yahyah pernah terlibat dalam kemalangan dan patah kaki. Dua musim tidak beraksi, kelab jaga sampai kembali dan jadi legenda.
"Safee Sali, dua kali alami kecederaan anterior ligament krusiat (ACL), Selangor ambil dia ketika kali pertama alami, selepas itu terus jadi legenda negara.
"Brendan Gan tidak perlu sebut jatuh tiga kali dan bangkit. Wan Zack Haikal, Norhakim Hassan, semua pemain yang pernah cedera sehingga boleh bunuh karier, tetapi insya-ALLAH akan jaga," katanya.
Tengku Amir Shah mengikuti rapat status semasa Faisal Halim. — Facebook/Selangor Royal Office
Sebelum ini, pemilik skuad Gergasi Merah, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin difahamkan menanggung kos pembedahan sehingga RM30,000 untuk proses 'skin grafting' bagi Faisal Halim.
Perbelanjaan berkenaan membantu pemain berusia 26 tahun itu untuk kembali ke keadaan sedia kala dengan dia hanya ditahan di wad untuk kira-kira sebulan sahaja.
Tidak cukup dengan itu, beberapa penaja Selangor FC difahamkan turut terlibat dalam membantu pemain berkenaan, baik dari segi sokongan moral mahupun proses rehabilitasi.
Faisal berkemungkinan dapat diturunkan dalam aksi Liga Super selepas ini apabila skuad Gergasi Merah akan menerima kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di laman sendiri pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram