Stadium jadi titik mula, penyokong Selangor FC terap budaya bersihkan sampah setiap kali lepas game


  • Massa
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Amalan membersihkan stadium selepas menonton perlawanan yang perlu diterapkan seluruh masyarakat.

AMALAN tidak meninggalkan sampah merata-rata dilihat semakin dipupuk dalam kalangan masyarakat khususnya komuniti penonton bola sepak di stadium.

Langkah itu juga kini sedang giat dilaksanakan oleh beberapa penyokong kelab bola sepak, Selangor FC (SFC) setiap kali selepas menonton perlawanan.

Bermula sejak perlawanan Liga Super 2024/2025 selepas Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dinaik taraf pada Disember 2023, seorang penyokong SFC yang mahu dikenali sebagai Mag Malaya, 35, memulakan langkah agresif dalam memberi kesederan tentang menjaga kebersihan stadium.

BACA LAGI: Bukan 'High Council', kelab BADAR mampu tangani budaya buli di IPT

BACA LAGI: Pilunya hati lihat anak kecil, orang tua diabai keluarga sendiri

6154300660854668354

Penonton disarankan untuk tidak meninggalkan sampah merata-rata di stadium. — Mag

Semangatnya untuk mengekalkan kecantikan dan keselesaan setiap stadium di Malaysia itu terus membara apabila ia diterima baik orang ramai.

"Saya tak tahu ini bermula daripada siapa, tapi saya pun ada idea untuk jaga kesbersihan stadium sejak nampak penambahbaikan di Stadium MBPJ itu.

"Jadi, saya ajak kawan-kawan saya untuk bawa plastik sampah sendiri dan mulanya buang di kawasan sekitar kami punya kerusi sahaja.

"Selain kutip dan buang dalam tong sampah, individu yang hisap rokok dan vape dalam stadium pun kami ada tegur juga," katanya kepada Majoriti.

Anak jati Selangor itu juga memberitahu bahawa amalan itu semakin mendapat perhatian dan diikuti orang awam terutamanya penyokong SFC.

6154300660854668355

Sampah yang dikumpul secara cermat di satu kawasan. — Mag

Ia sekali gus menarik perhatian syarikat berjenama besar untuk menaja plastik sampah selepas melihat usahanya itu.

Katanya, dia dan rakan-rakannya juga akan menyuruh penonton lain untuk melakukan perkara sama setiap kali selesai perlawanan.

"Setiap kali pergi stadium pun memang kami akan jerit kepada penonton berdekatan untuk mengutip sampah masing-masing.

"Selepas itu, kami rata-ratanya mendengar arahan dengan baik dan ada yang bawa sampah balik, ada yang kumpul dalam satu plastik sampah dan letakkan di tepi tong jika terlalu penuh," katanya.

Jelas Mag lagi, hasratnya menggunakan stadium sebagai medium dan titik mula adalah bagi memupuk budaya tidak menyukarkan urusan orang lain.

6154300660854668353

Usaha mengutip sampah di kawasan stadium yang menjadi titik mula Mag. — Mag

Ia selepas melihat beberapa isu dan masalah yang sering berlaku di kawasan sekitar seperti parkir bertindih, merokok di kawasan larangan.

"Jadi, buang sampah di stadium ni juga untuk sampaikan mesej yang lebih banyak tentang amalan positif.

"Bukan itu sahaja, saya pun nak jadikan stadium sebagai tempat selamat dan boleh tarik lagi ramai kanak-kanak," katanya lagi.

Mag pada masa sama berkata, inisiatifnya itu juga adalah demi membawa nama dan imej Selangor yang lebih baik di mata dunia.

Penyokong tegar SFC itu turut menyampaikan pesanan kepada orang ramai agar terus menyokong liga tempatan dalam usaha membantu kelab-kelab bola sepak untuk kekal bertahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram