DALAM era digital yang semakin canggih, pelbagai kaedah digunakan oleh penjenayah dalam talian untuk menjerat mangsa.
Terbaharu, seorang individu kehilangan wang dalam sekelip mata gara-gara menerima kad jemputan perkahwinan menerusi fail APK (Kit Pakej Android).
Menurut pentadbir laman Facebook, Saya Orang Johor, insiden itu berlaku melibatkan rakannya baru-baru ini.
BACA LAGI: Lesenkan platform media sosial langkah bijak banteras 'konten' kurang bijak, pengaruh negatif
BACA LAGI: Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim
"Sudah empat hari sahabat saya berdukacita atas kesilapan membuka satu link jemputan kahwin anak sahabatnya.
"Dia kehilangan RM49,000 dalam bank simpanan. Hati-hati sahabat," tulisnya pada Isnin.
Perkongsian di laman sosial media itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Menurut seorang pengguna Facebook, Ismael Akid kad jemputan perkahwinan menerusi fail APK merupakan taktik terbaru scammer mencuri duit dalam akaun mangsa.
"Cara paling senang untuk memerangkap mangsa secara rawak dengan hanya memperdayakan orang ramai untuk menekan pautan scam.
"Selalunya sasaran mereka warga emas. Bijak scammer ini, mereka tahu mana satu nombor yang mereka dah sasarkan," tulisnya.
Antara kad jemputan perkahwinan menerusi fail APK yang digunakan oleh scammer. — Gambar Hiasan
Sementara itu, Mohd Syafik Izwan Mohamad, menyarankan supaya setiap individu perlu mempunyai dua akaun bank untuk meminimumkan risiko kehilangan wang akibat penipuan dalam talian.
"Buat dua akaun bank, satu akaun untuk gaji dan jangan buat online. Kalau nak tengok gaji pastikan anda tetapkan pengeluaran minimum untuk sehari.
"Akaun kedua pula untuk pembayaran secara dalam talian. Maksudnya kalau kena scam hanya akaun yang kedua sahaja terjejas," tulisnya.
Tambahnya lagi, dengan mempunyai dua akaun bank dan meminimumkan jumlah wang dalam akaun yang digunakan untuk transaksi dalam talian, risiko kehilangan wang dapat dikurangkan.
"Cara ini mungkin kelihatan remeh, tetapi ia dapat memberikan perlindungan tambahan terhadap penipuan yang semakin canggih," katanya.
Sehubungan itu, dalam dunia digital yang semakin berkembang, penting untuk sentiasa berjaga-jaga dan bijak dalam menguruskan wang.
Langkah-langkah perlindungan seperti ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kehilangan wang, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram