Sanggup hantar nama kepada PM, ramai sokong usaha MCA bantu pelajar cemerlang SPM masuk matrikulasi


  • Massa
  • Rabu, 10 Jul 2024

Dr Wee berusaha menghantar senarai nama pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di matrikulasi untuk mendapat perhatian pihak berkaitan. — Facebook/Dr Wee

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong giat melaksanakan usaha membantu beberapa pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM) yang tidak berjaya dalam rayuan untuk diterima masuk ke program matrikulasi.

Dr Wee sanggup menghantar nama pemohon program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen pada Selasa.

Menurutnya, hanya 74 layak kerana mendapat 'straight A' daripada 151 pelajar yang gagal dalam rayuan untuk diterima masuk ke program matrikulasi.

BACA LAGI: Wee Ka Siong serah senarai rayuan pemohon matrikulasi kepada PM Anwar

BACA LAGI: Beri elaun tak ringan beban guru, mohon pertimbang kemudahan asrama pelajar Tingkatan 6 — KGMMB

450613294_1045807530249134_8808213612775033590_n

Dr Wee (kiri) bersama Anwar (kanan) di Parlimen pada Selasa. — Facebook/Dr Wee

Tindakan itu sekali gus memberi sinar dan harapan kepada para pelajar berkenaan di samping meraih sokongan padu daripada orang ramai.

Rata-rata warga maya juga dilihat tidak lekang memberikan komen dan maklum balas positif terhadap usaha Dr Wee.

"Inilah gunanya wakil rakyat dengan betul. Undi itu untuk kelangsungan hidup pengundi," komen Aishatun Sidek.

"Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukannya yang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah yang timbul ini," luah Top Fan.

450474840_1046413166855237_3103273122454638670_n

Dr Wee (kanan) berbincang dengan Fadhlina (kiri) di Dewan Rakyat pada Rabu. — Facebook/Dr Wee

Pada masa sama, ada juga yang menyeru pihak kerajaan supaya meneliti kembali kelayakan untuk pelajar tempatan melanjutkan pelajaran di matrikulasi atau universiti awam dan swasta lain.

"Kekalkan sistem kuota yang boleh, tapi jangan abaikan pelajar-pelajar cemerlang ini. Sanggup ke lepaskan sebegitu sahaja 151 pelajar paling cemerlang bawah didikan kita dan serahkan secara percuma kepada negara lain seperti Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Taiwan, China dan sebagainya," tulis Au Tai Yiat.

Dalam perkembangan terbaharu, Dr Wee dilihat mengambil langkah agresif dengan membincangkan tentang perkara tersebut bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menghadiri sidang Parlimen pada Rabu dan diikuti dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen Ke-15.

Beliau turut memohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan pelajar-pelajar terbabit yang berusaha mendapatkan pendidikan di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram