AGREGAT satu gol ke atas Penang FC pada aksi pertama suku akhir Piala FA memberi kemenangan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk layak ke peringkat separuh akhir kejohanan berprestij berkenaan.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum ini melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC menerusi jaringan Hasbullah Abu Bakar pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada 28 Jun lalu.
Walaupun Sang Kenari berhasil melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas kali terakhir pada 2019 namun tahap permainan Kedah tidak menggembirakan penyokong terutama pada aksi kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar baru-baru ini.
BACA LAGI: Ketumpulan penyerang kecewakan Penang FC, Sang Kenari bawa bekalan tipis ke Darul Aman
BACA LAGI: ‘Dari junior sampai senior lemau’, fans Penang tarik ‘handbrake’, mula seru nama YB
Perlawanan seri tanpa jaringan di Darul Aman itu yang membuatkan para penyokong mempersoalkan kemampuan beberapa pemain terutama tiga tonggak import iaitu Habib Haroon, Sukhrob Nurulloev dan Milos Gordic.
Habib dan Sukhrob diturunkan sebagai kesebelasan utama untuk membantu bahagian tengah dan serangan, manakala, Milos pula diturunkan pada minit ke-70 namun kehadirannya seolah-olah tidak berfungsi sebagai penyerang tengah.
Habib menyertai Kedah selepas meninggal Terengganu pada awal tahun ini. — Facebook/KDAFC
"Level sampah, pemain tempatan jauh lebih baik berbanding tiga import ini. Taktikal ke laut. Main macam budak sekolah. Nafuziball tahap sekolah punya taktikal.
"Penang jauh lebih baik cara permainan. Dah dah tak boleh bagi muka dengan tiga pemain ini," kata penyokong Hijau Kuning, Dato Malek yang menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap prestasi Habib, Sukhrob dan Milos.
"Duit pun tiada nak ambil import mahal. Sedar lah sikit, ini sahaja kita mampu. Habib itu bagus sahaja cuma Sukhrob dan Milos saja tak bagus mana," pendapat penyokong KDA FC, Hatiem Widad.
Milos disenaraikan sebagai pemain simpanan sewaktu aksi bertemu Penang pada Jumaat lalu. — Facebook/KDAFC
Mengambil kira prestasi bagi tujuh perlawanan termasuk tiga aksi Piala FA, Habib yang datang sebagai pemain tengah terbaik Terengganu seolah-olah masih tidak menemui rentaknya bersama Kedah.
Manakala, Sukhrob pula tiba sebagai pengganti Manuel Hidalgo tidak lagi mampu menandingi kelincahan pemain sayap berkenaan dan buktinya dia juga sekadar meledak satu hantaran bantuan buat Kedah setakat tujuh aksi domestik.
Posisi penyerang utama yang dipegang Milos boleh berpindah kepada Ebenezer Assifuah apabila pemain kelahiran Serbia berkenaan masih belum berada di tahap memuaskan hati penyokong susulan mencetak satu gol sahaja dalam tujuh aksi dia diturunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram