'Mereka nampak keropok, sudah pasti akan makan', doktor bagi 5 garis panduan penting elak kejadian di Kulim berulang


  • Massa
  • Selasa, 09 Jul 2024

Terdapat beberapa garis panduan yang selamat untuk menggunakan racun bagi tujuan memerangkap haiwan liar. — Gambar hiasan

KEJADIAN dua beradik lelaki yang kritikal selepas termakan keropok mengandungi racun tikus di kawasan kebun dekat Kampung Padang Ubi Labu Besar, Kulim, Kedah pada Ahad lalu menerima pelbagai reaksi daripada seluruh masyarakat.

Dalam insiden itu, polis mengesahkan bahawa keropok berkenaan dipercayai digunakan pekebun kampung sebagai perangkap monyet dan digantung pada dawai besi di sekeliling pagar kawasan kebun terbabit.

Kedua-dua mangsa juga mengalami muntah-muntah dan mulut berbuih sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

BACA LAGI: Perangkap monyet disangka jajan, 2 beradik kritikal termakan keropok campur racun tikus di Kulim

BACA LAGI: Menteri, agensi berdepan tindakan disiplin jika guna jentera kerajaan berkempen pilihan raya — PM Anwar

450102403_10161449304388351_8974434800892514236_n

Keropok berkenaan dipercayai digunakan pekebun kampung sebagai perangkap monyet dan digantung pada dawai besi di sekeliling pagar kawasan kebun.

Kes tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terutamanya golongan ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Justeru, aktiviti memerangkap haiwan liar menggunakan racun atau bahan berbahaya perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan tidak diingini.

Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan yang merupakan pakar kesihatan menjelaskan beberapa garis panduan yang boleh diikuti.

"Budak-budak manalah faham bahaya. Mereka nampak keropok, sudah pastilah mereka ambil dan makan. Nak meracun makhluk perosak, perlulah utamakan keselamatan. Bukan keselamatan diri sahaja, bahkan persekitaran kita," katanya.

1. Penyimpanan selamat

Setiap racun yang digunakan harus disimpan dalam bekas berkunci dan diluar capaian kanak-kanak. Label pada bekas juga perlu dilekatkan dan ia harus jelas dan mudah dibaca.

2. Penggunaan yang bertanggungjawab

Gunakan racun mengikut arahan pada label. Individu bertanggungjawab tidak digalakkan untuk mengubah suai atau gunakannya dengan cara yang tidak disarankan oleh pengeluar.

2464011

Kawasan perangkap perlu dipantau bagi mengelakkan risiko bahaya kepada orang awam. — Gambar hiasan/Facebook

3. Kawasan terhad

Racun atau perangkap disarankan diletakkan bukan di kawasan umum atau tempat yang mudah diakses orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

4. Pemantauan dan pembersihan

Selepas menggunakan racun, kawasan tersebut harus dipantau dengan rapi. Pada masa sama, pembersihan segera harus dilakukan selepas penggunaan bahan tersebut.

5. Pemberitahuan dan notis

Individu yang tinggal di kawasan berhampiran harus diberi notis tentang penggunaan racun sebagai langkah berjaga-jaga. Bukan itu sahaja, pihak berkenaan dinasihatkan untuk menggunakan racun dengan beretika. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram