SEORANG remaja perempuan nyaris kehilangan tangan selepas dipatuk ular jenis beludak hijau di Loei, wilayah Isaan, Thailand baru-baru ini.
Meskipun bersaiz kecil dan nampak seperti tidak berbahaya, mangsa dikatakan menerima sebanyak 90 jahitan dan perlu menjalani rawatan selama setahun lima bulan ekoran kejadian itu.
Memuat naik video di laman TikTok, gadis berusia 19 tahun itu berkongsi detik getir dilaluinya sepanjang menerima rawatan.
Difahamkan, lengan gadis itu berkemungkinan dipotong sekiranya gagal dibawa ke hospital dengan cepat ketika kejadian kerana racun boleh merebak dengan pantas dan hanya pembedahan saja yang boleh menghentikannya.
“Inilah kesan patukan ular yang perlu saya terima dalam tempoh rawatan selama setahun lima bulan di hospital, 90 jahitan dan parut kekal.” katanya.
Gadis malang itu menerima 30 jahitan untuk rawatan kali pertama, 40 jahitan lagi pada kali kedua dan 20 jahitan pada pembedahan terakhir.
Dia kini dilaporkan pulih sepenuhnya dan boleh menggerakkan lengan serta jarinya seperti biasa.
Bagaimanapun, bisa ular berkenaan meninggalkan kesan parut besar kekal di lengannya dan berkemungkinan gadis itu akan mengukir tatu untuk menutupnya.
Serangan ular hijau merupakan perkara biasa di Thailand dan boleh membawa maut apabila racun mengalir ke dalam sistem darah badan dan seterusnya membengkak serta bernanah.
Seorang doktor haiwan dari Institut Memorial Queen Saovabha, Taksa Vesarach, mengesyorkan sesiapa yang dipatuk ular beludak hijau perlu melonggarkan pakaian dan menanggalkan aksesori di badan seperti cincin kerana badan akan mula membengkak.
Jika tidak berbuat demikian, mangsa mungkin sukar untuk membuka cincin atau aksesori yang dipakai pada badan kerana bengkak bisa tersebut.
Selepas digigit, mangsa perlu segera mencuci luka dengan air bersih dan berjumpa doktor secepat mungkin untuik mendapatkan rawatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram