Lelaki selamba bawa 'king cobra' ke hospital, dakwa ular berbisa mati lepas patuknya


  • Benua
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Tangkap layar seorang lelaki menceritakan dirinya dipatuk oleh seekor ular tedung.

SEORANG lelaki mengejutkan ahli keluarga dan doktor di sebuah hospital selepas mendakwa dirinya dipatuk sebanyak dua kali oleh seekor ular tedung.

Salauddin Mansoori, 35, memberitahu kepada doktor di Hospital Kushinggar, Uttar Pradesh, India bahawa dia dipatuk reptilia itu ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari stesen kereta api.

“Dalam keadaan mabuk saya cuba berjalan pulang ke rumah sebelum bertembung dengan ular itu. Secara tidak sengaja saya memijaknya dan ular itu kemudian mematuk di kaki saya.

“Saya menjadi berang dan cuba menangkapnya dengan tangan sebelum dipatuk sekali lagi di tangan. Saya mengatakan kepada haiwan itu, jika saya mati, dia juga akan mati,” katanya kepada media tempatan, Punjab Kesari UP.

Selepas kejadian itu Mansoori terus pergi ke rumah adiknya untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Rakaman Mansoori mendapat rawatan di hospital selepas dipatuk ular tedung.

Adiknya yang terkejut mendengar berita itu terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor yang merawatnya turut terkejut apabila melihat Mansoori membawa bangkai ular tedung itu di dalam sebuah beg plastik hitam dan mendakwa haiwan itu mati selepas mematuk dirinya.

Perkara itu kerana ular sepanjang 18 kaki itu memiliki bisa racun neurotoksin yang mampu melumpuhkan atau membunuh kira-kira 15 hingga 20 orang manusia dengan hanya satu gigitan.

Keadaan Mansoori yang dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan dan suntikan antiracun.

Mansoori bagaimanapun tidak menceritakan bagaimana dia membunuh ular terbabit kerana tidak mengingati insiden terbabit disebabkan berada di bawah pengaruh alkohol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram