KEHILANGAN haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing pastinya menyedihkan, namun hati pasti terasa lebih sayu jika kematian haiwan kesayangan itu membabitkan insiden keracunan yang mungkin tidak disengajakan.
Berita sedih itu dikongsikan pengguna Facebook, Fluffy Empire selepas salah satu daripada tujuh kucing peliharaannya mati pada pagi Rabu selepas disyaki termakan gandum yang dipercayai racun tikus.
Lebih mendukacitakan, tiga ekor kucing lain milik jirannya juga mati pada hari sama, dipercayai akibat termakan racun gandum tersebut.
PERKONGSIAN Fluffy Empire mengenai kematian kucing mereka bernama Baby. — Facebook
Berkongsi berita sedih itu kepada Majoriti, pemilik akaun Facebook tersebut dikenali sebagai Dila berkata, dia dapat tahu mengenai keadaan kucingnya daripada sepupu yang kebetulan berada di rumah di Subang Jaya, Selangor.
"Saya dah sampai pejabat ketika kejadian berlaku. Sepupu saya beritahu dia ternampak ada kesan muntah di kawasan parkir rumah dan kucing saya yang bernama Baby di bawah kereta dalam keadaan sedang menggelupur kesakitan.
"Dia letakkan Baby dalam sangkar sementara tunggu saya dan suami balik untuk bawa ke klinik veterinar. Waktu itu, Baby mengalami sawan dan tercungap-cungap.
"Gusi Baby pula berdarah, mulutnya pula ketap rapat malah gigi dah ada yang menjadi serpih. Semasa dalam perjalanan ke klinik, Baby dah tak dapat diselamatkan," katanya kepada Majoriti.
Menurut Dila, salah seorang jirannya juga kehilangan dua ekor kucing yang mengalami keadaan serupa seperti Baby, dipercayai selepas termakan racun tikus jenis gandum di salah sebuah rumah di kawasan kejiranan mereka.
"Jiran itu beritahu kedua-dua ekor kucingnya ditemukan mati lebih awal daripada Baby iaitu kira-kira pukul 7 pagi, Baby (mati) dalam pukul 10 pagi.
"Selepas itu, kira-kira pukul 11.50 pagi, ada seekor lagi kucing jiran kami yang mengalami nasib sama. Sebelum itu, suami saya sempat letakkannya dalam kotak untuk bawa ke klinik tetapi ia juga muntah-muntah dan mengalami sawan seperti Baby serta tidak sempat diselamatkan.
"Memang sedih dengan kejadian yang berlaku ini sebab ada empat ekor kucing termasuk Baby mati pada hari sama lagi-lagi tempoh masa kematian dekat-dekat," ceritanya sambil memberitahu, kesemuanya kucingnya akan dilepas pada waktu siang dan diletakkan di dalam rumah pada malam hari.
CONTOH racun tikus jenis gandum. — Gambar hiasan
Cerita Dila lagi, ada jirannya mendakwa ternampak bekas polisterina berisi racun tikus gandum itu diletakkan di bahagian tempat letak kereta rumah salah seorang jiran mereka.
"Kemungkinan besar, kucing-kucing ini termakan racun gandum tersebut. Cumanya timbul persoalan mengapa bekas itu diletakkan di tempat terbuka.
"Walaupun ada jiran beritahu gandum itu tidak dicampurkan dengan makanan kucing tetapi kedudukan bekas tersebut di tempat terbuka mendatangkan kemusykilan," dakwanya dalam nada hiba.
Buat masa ini, pemilik-pemilik kucing itu mahu mendapatkan penjelasan daripada individu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram