Gagal bantu JDT II menang, 3 bintang senior Harimau Selatan didesak cari jalan keluar


  • Podium
  • Rabu, 03 Jul 2024

Skuad Harimau Selatan menduduki tangga kedua Piala MFL selepas mengharungi empat perlawanan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

REKOD cemerlang Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam saingan Piala MFL musim ini tercalar selepas mereka mengalami kekalahan pertama selepas empat perlawanan.

Mereka yang bertandang ke Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu untuk berdepan skuad bimbingan Hairuddin Omar terpaksa akur dengan keputusan 0-1.

Jaringan Syahmi Zamri pada minit ke-51 permainan menyaksikan tiga mata milik Terengganu FC II sementara JDT II pulang dengan tangan kosong.

BACA LAGI: Fans desak JDT turunkan permata attacking Malaysia, imbau memori indah lawan Costa City

BACA LAGI: Nidzam mahu anak buah fokus, JDT tetap tenang

449778901_457081666958943_6437877168765965778_n

Gol Syahmi Zamri mengesahkan kekalahan pertama JDT II. Facebook/Terengganu FC II

Kekalahan itu sudah tentu sukar ditelan penyokong skuad Harimau Selatan memandangkan mereka sekali lagi dikecewakan kelab Pantai Timur berkenaan selepas berdepan episod sama dalam perlawanan akhir Piala MFL musim lalu.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran tiga pemain yang dibawa daripada pasukan utama, Ramadhan Saifullah, Junior Estdal dan Mohamadou Sumareh seakan-akan gagal menghadiahkan sebarang hasil.

Jadi, dengan kemasukan kedua-dua bintang itu tidak dapat membawa sebarang hasil, sebahagian penyokong beranggapan mereka perlu ditunjukkan jalan keluar dengan status pinjaman buat sementara waktu.

"Sumareh, Ramadhan dan Junior (Estdal) tidak perlu lagi diberikan minit permainan bersama JDT. Boleh dipinjamkan ke Kuching City," kata Izar Isma.

"Sumareh dan Ramadhan ni boleh dikatakan menghampakan. Sering pandang rendah terhadap lawan seperti ketika JDT berdepan Malaysia University," kata Kias Fansuri Andalusia.

"Setiap kali turunkan pemain senior untuk elakkan kekalahan, mesti akhirnya alami kekalahan. Kenapa ya agaknya?" komen Ikhwan Ismail.

449620664_1045526516943324_1316883367728452888_n

Ramadhan merupakan salah seorang pemain yang didesak ditunjukkan jalan keluar. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ketiga-tiga pemain berkenaan sebelum ini diturunkan ketika JDT berdepan Malaysian University dalam saingan Piala MFL pada 29 Jun lalu, namun Sumareh dan Ramadhan dikeluarkan selepas 45 minit beraksi.

Ini kerana masing-masing tidak dapat memberikan impak yang sekali gus menyaksikan harapan pemain tersebut untuk kekal dan meraih minit permainan kerap semakin pudar.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kekal di tangga kedua Piala MFL dengan hanya satu mata di belakang pendahulu, Kelantan Darul Naim FC.

Bagi Terengganu FC II, kemenangan ke atas JDT II itu membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah selain melonjakkan diri ke tangga ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram