[VIDEO] Aksi kelab Selangor-Pahang Rangers jadi hangat, ramai selar mentaliti pemain profesional


  • Podium
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Shah Alam City dan Pahang Rangers boleh diangkat sebagai pencabar utama mahkota MPFL musim ini. — Facebook/FAM

SAINGAN Liga Futsal Profesional Malaysia (MPFL) 2024 membuka tirainya dengan beberapa aksi menarik disajikan buat peminat sukan itu dalam negara.

Perlawanan yang pastinya menjadi bahan bualan ramai adalah pertemuan antara juara bertahan, Pahang Rangers dan Shah Alam City di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Selangor pada Sabtu.

Pahang Rangers yang melakukan beberapa pertukaran pemain sepanjang pramusim dilihat sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran buat tahun kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, Shah Alam City yang cukup terkenal dalam kalangan penyokong futsal dalam negara pasti mahu memberi saingan hebat buat kelab Pantai Timur itu.

Tetapi, harapan orang ramai untuk menyaksikan aksi profesional daripada kedua-dua pihak tidak kesampaian setelah tercetus insiden hangat ketika perlawanan berlangsung.

Dalam satu video pendek dikongsikan Astro Arena di laman media sosial, kelihatan berlakunya pertelingkahan antara pemain Shah Alam City, Zainal Abidin Hamzah dan lawannya, Ahmad Harith Na'im.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas ghaib sesi latihan, bekas bintang Pahang Rangers jadi ‘lubuk’ JDT tewas friendly

BACA LAGI: Semangat juang luar biasa jadi nadi Pahang Rangers rangkul kejuaraan berganda

Insiden tercetus setelah Harith Na'im dengan sengaja menghalang laluan larian Zainal sehingga membuatkannya terjatuh, namun dia segera bangkit untuk menolak si pelaku.

Pemain Pahang Rangers itu kemudiannya kelihatan menutup wajahnya dan mengerang kesakitan lalu menyaksikan pemain serta pengadil meleraikan keadaan.

Hal berkenaan membuatkan ramai penggemar sukan futsal kurang senang dengan mentaliti pemain profesional dengan masing-masing berasakan sikap lebih matang perlu dipamerkan mereka.

"Dua-dua sama nak buat provokasi. Pemain no 7 nak berlagak hebat rasanya," kata Sean Andrew.

"Pemikiran sebeginilah yang membuatkan sukan kita tidak dapat melangkah ke tahap lebih jauh," kata Mohd Aidil.

"Mahu jadi pemain profesional, tetapi mental cepat terkesan. Jangan berangan nak terus bakat asah," komen Habu Gert.

Berdasarkan perkembangan dikongsikan, perlawanan itu sememangnya menyajikan aksi cukup berkualiti dengan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 6-6.

Ia seakan-akan memberi bayangan bahawa arena futsal negara semakin berkembang dengan tarikan terhadap MPFL musim ini pasti akan lebih memberangsangkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram