PELBAGAI pihak memainkan peranan mengawal peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sebelum ini, isu pengangguran terutamanya melibatkan golongan belia banyak disuarakan kerana pertambahan lepasan graduan yang tidak selari dengan peluang pekerjaan ditawarkan sesetengah syarikat.
Peningkatan jumlah graduan asing dalam pelbagai sektor di Malaysia juga dikatakan menjadi masalah, sekali gus dikhuatiri memberi impak besar kepada kadar lonjakan pengangguran graduan tempatan.
BACA LAGI : Peruntukan biasiswa khas RM4.7 juta taja pengajian pekerja industri pelbagai sektor di Melaka
Isu pengangguran banyak melibatkan para graduan Malaysia. — Gambar hiasan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagaimanapun mengumumkan, kadar pengangguran di Malaysia pada November 2023 telah kembali menurun iaitu 3.3 peratus dengan 569,200 penganggur berbanding 3.4 peratus dicatatkan pada Oktober tahun sama.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pada November itu memberi petanda bahawa pertumbuhan ekonomi yang positif.
Katanya, jumlah penduduk yang bekerja pada November meningkat 0.2 peratus, berjumlah 16.43 juta orang berbanding 16.40 juta pata Oktober. Pada masa sama, jumlah individu penganggur menurun 0.3 peratus kepada 569,200.
Bilangan tenaga kerja pada bulan dan tahun yang sama dikatakan meningkat kepada 0.2 peratus iaitu 17 juta daripada 16.97 juta orang pada Oktober 2023.
Penurunan itu menunjukkan keberhasilan kesemua usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak tidak kira agensi kerajaan mahupun swasta dengan mewujudkan pelbagai program peluang pekerjaan.
Justeru, ada pihak mengambil langkah menyediakan beberapa platform khususnya kepada pencari kerja bagi mendapatkan maklumat berhubung inisiatif tersebut.
1. Program Kerjaya Perwarisan Syariah
BACA LAGI : PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum
Program khas dibuka kepada peminjam PTPTN.
Program Kerjaya Perwarisan Syariah adalah salah satu program kolaborasi di antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB).
WSB merupakan sebuah syarikat amanah patuh Syariah terbesar di Malaysia yang berpotensi meluaskan pengetahuan dan solusi pewarisan serta perancangan harta secara patuh syariah.
Berdasarkan terma ditetapkan, program itu hanya dibuka kepada para peminjam PTPTN yang sedang melalui proses mencari pekerjaan.
PTPTN juga bertanggungjawab untuk menghebahkan peluang itu kepada golongan berkenaan di samping memberi komisen berbaloi.
Melalui program itu, peserta akan menerima komisen dengan mempromosi dan memasarkan lebih dari 38 jenis solusi perkhidmatan pewarisan dan perancangan yang ditawarkan oleh WSB.
Peserta turut diberi latihan intensif mengikut modul atas talian yang dikenali sebagai Learning Management System (LMS).
Modul tersebut boleh diakses pada waktu fleksibel bagi membolehkan peserta melengkapkan kursus asas pembelajaran dengan lebih mudah dalam tempoh ditetapkan.
Lebih menarik, peserta juga dibenarkan mengikuti program tersebut secara sambilan atau sepenuh masa.
Bagi individu yang layak dan tertarik mahu menyertai program tersebut boleh layari laman sesawang PTPTN untuk maklumat lanjut.
2. Portal MYFutureJobs
Portal khusus buat individu yang sedang mencari pekerjaan daripada pelbagai bidang.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan sememangnya sudah menyediakan kemudahan Perkhidmatan Pekerjaan kepada rakyat Malaysia menerusi portal pekerjaan MYFutureJobs.
Portal tersebut adalah terbuka kepada semua individu khususnya golongan belia dan graduan yang sedang mencari pekerjaan sesuai.
Selari dengan teknologi semasa, portal itu boleh diakses dengan mudah kerana ia dibangunkan bersama aplikasi pintar berasaskan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang disesuaikan dengan konteks Malaysia.
Selain dapat memberikan manfaat akses kepada padanan pekerjaan, portal itu juga menawarkan Program Pasaran Buruh Aktif Semasa termasuk Siri Program Temuduga Terbuka dan Program Kebolehpasaran pekerjaan oleh pelbagai pakar daripada pelbagai industri yang dianjurkan oleh PERKESO.
Pada 1 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyatakan, seramai 2.5 juta pencari kerja berdaftar dengan portal berkenaan.
Sebanyak 46,000 daripada jumlah itu adalah pencari kerja dalam golongan orang kurang upaya (OKU), 106,000 lepasan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala selebihnya daripada kumpulan lain.
3. MCTF
Karnival kerjaya terbuka kepada semua golongan masyarakat.
Pameran Kerjaya & Latihan Malaysia (MCTF) merupakan platform pekerjaan terkemuka di Malaysia JobStreet by SEEK dengan kerjasama AIC Exhibitions Sdn Bhd.
MCTF sebenarnya sudah dilaksanakan sebanyak dua kali sebelum ini dan kini bakal kembali dibuka buat kali ketiga iaitu pada 30 dan 31 Mac ini di Mid Valley Exhibition Center, Kuala Lumpur.
Karnival itu telah dianjurkan buat pertama kalinya pada Februari 2022 dan telah menerima lebih daripada 40,000 peserta.
Karnival itu bertujuan membolehkan para pencari kerja membina jaringan dengan lebih baik bersama syarikat bagi peluang pekerjaan yang lebih cerah.
Semua individu diberikan peluang menjalinkan hubungan dengan majikan daripada pelbagai syarikat terkemuka termasuk Shell, Prudential, Agoda, Touch 'n Go, CIMB dan banyak lagi.
Pameran ini turut menyediakan ceramah berkaitan kerjaya melibatkan pakar dari beberapa syarikat besar yang bertanggungjawab mengupas isu dan maklumat terkini berkenaan aliran pengambilan pekerja.
Selain berkomunikasi dengan bakal majikan, peserta MCTF juga boleh mendapatkan konsultasi bagi membantu meningkatkan kerjaya serta mendapat akses kepada program pemahiran semula kemahiran dan peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling) melalui seekMAX di Gerai JobStreet Malaysia.
4. Program Academy in Industry (AiI)
Program terbaik buat pelajar lepasan SPM dan TVET. — Gambar hiasan
Program Academy in Industry (Ail) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan iaitu kerjasama inovatif antara kerajaan dan pihak industri bagi mencungkil bakat-bakat terpendam golongan muda.
AiI secara amnya adalah satu cara untuk masyarakat menyertai sektor pekerjaan dan mendapat peluang meningkatkan kemahiran serta kompetensi pada masa sama.
Program itu mensasarkan khusus kepada individu lepasan sekolah, lulusan TVET atau universiti dan golongan yang ingin kembali bekerja.
Ia juga menjadi satu laluan baharu kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk bekerja pada usia 18 tahun.
Pada Ogos 2023, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu dapat dinikmati buat mereka yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat universiti manakala digalakkan untuk mengambil kursus TVET secara sepenuh masa selama 24 bulan.
Peserta AiI turut akan dipadankan dengan industri melalui kaedah place and train.
Kaedah itu memerlukan mereka melakukan praktikal berasaskan kerja seterusnya ke peringkat lebih tinggi seperti diploma atau sarjana muda atau terus menceburi bidang kerjaya yang dipilih.
Melalui program tersebut, peserta akan memperolehi sijil dalam tempoh sembilan hingga 18 bulan dan peluang bekerja di 200 syarikat besar dengan gaji bersih sekitar RM2,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram