'Lebih baik duduk bench JDT', penyokong persoal corak permainan anak jati Kedah di HM


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Aksi Akhyar dalam perlawanan menentang Chinese Taipei dikritik ramai oleh penyokong Harimau Malaya. — FAM

PEMAIN sayap Terengganu FC, Muhammad Akhyar Rashid menjadi sasaran penyokong selepas tampil dengan aksi yang kurang memberangsangkan bersama skuad kebangsaan dalam misi untuk mencari jaringan gol yang besar menentang Chinese Taipei pada Selasa.

Dalam perlawanan itu, Malaysia berjaya mengutip tiga mata penuh hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid, Paulo Josue dan Muhammad Adib Ra'op sekali gus mengakhiri perlawanan dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Akhyar beraksi selama 74 minit sebelum digantikan dengan Adib Ra'op dalam perlawanan itu.

BACA LAGI: 'Dah sampai masa beri pendedahan', Adib Raop jadi modal penyokong banding dengan Akhyar Rashid

BACA LAGI: [VIDEO] Berang lawan dapat penalti, pemain amatur tampar muka pengadil lepas kena kad kuning

Aksi 74 minit ditampilkan oleh Akhyar mendapat kritikan daripada penyokong Harimau Malaya meskipun mempunyai minit permainan bersama Terengganu musim ini.

Menerusi komen seorang penyokong dalam laman JDT Fans Team, beranggapan corak permainan Akhyar lebih baik semasa berada di bawah jagaan Johor Darul Ta'zim (JDT) meskipun kekurangan minit permainan.

"Game Akhyar untuk Harimau Malaya lebih baik ketika duduk di bangku simpanan JDT berbanding sekarang."

Manakan tidak, dalam perlawanan itu, Akhyar mensia-siakan dua peluang keemasan untuk Harimau Malaya meledak gol bagi melaksanakan misi jaringan besar ke atas Chinese Taipei.

Namun dua peluang keemasan itu tidak dapat diterjemahkan selepas penjaga gol Chinese Taipei dapat menangkap bola itu.

Penyokong lain turut berpendapat skil yang ditunjukkan oleh Akhyar tidak mendatangkan manfaat buat skuad kebangsaan ketika Harimau Malaya mahu memburu jaringan gol.

"Mengarut dah corak permainan dia (Akhyar) ini, asyik nak 'dribble' bola sahaja," kata Adnan Sarmin.

"Lagi baik masa duduk simpanan, ada juga jaring gol. Kalau tengok semalam (Selasa) Safawi pun sama ke bulan," ujar Fadzli Echania.

"Akhyar dan Safawi bermain dengan prestasi yang sangat teruk, deretan peluang disia-siakan patut beri peluang kepada pemain lain," luah Azman Mohamed.

"Dia (Akhyar) memang bagus pun dekat JDT, jadi 'super sub' (simpanan) sebab tak cukup cergas nak main penuh dekat JDT," jelas Syafiq Musa.

Namun di sebalik kemenangan itu, impian Harimau Malaya untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mendapat tiket awal ke Piala Asia 2027 sudah terkubur walaupun berjaya menang 3-1 ke atas Chinese Taipei.

Kegagalan mencari jaringan besar menyaksikan skuad negara gagal mengatasi defisit gol pasukan di kedudukan kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan dan kekurangan satu mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram