Budak U singkir PDRM, Kedah patut susah hati jumpa kelab Liga A1 Semi Pro


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Sang Kenari akan melayan kunjungan Bukit Tambung di pusingan 16 yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar. — Facebook/KDAFC

IMPIAN PDRM FC untuk lolos pusingan suku akhir punah apabila diaibkan 0-3 oleh Malaysia University Football Team (MUFT) pada pusingan 16 Piala FA 2024 di Stadium Selayang, Selayang, Selangor pada Rabu.

Skuad kendalian Ridzuan Abu Shah bermula garang apabila merobek gawang lawan menerusi sentuhan penyerang, Mohd Shahir Abdul Rahman seawal minit kelima perlawanan dan Muhammad Hadi Mohamad meledak jaringan kedua empat minit kemudian.

Kem Sang Saka Biru seakan-akan hilang pedoman apabila pemain gantian skuad The University Tigers, Muhammad Zharif Nazhan Refli mencetak jaringan ketiga pada masa kecederaan dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat.

BACA LAGI: Kedah berebut dengan Selangor ingin dapatkan Irfan Fandi?

BACA LAGI: Piala FA: Laluan sukar menanti Terengganu, Kedah dapat jalan mudah

Keputusan itu menyaksikan pasukan dibarisi oleh pelajar universiti itu mengesahkan tempat ke suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik pada 28 Jun dan 4 Julai ini.

Kekalahan pasukan kendalian P. Maniam di tangan pasukan Liga A1 Semi Pro itu membuka mata penyokong bahawa kelab Liga Super tidak boleh memandang enteng pasukan kerdil seperti MUFT.

Kedah Darul Aman (KDA) FC yang selepas ini akan melayan kunjungan Bukit Tambun FC juga waspada dengan keputusan itu dan pastinya ia bukan jalan mudah untuk mereka mendapatkan tiket ke peringkat suku akhir.

"Minit ke-15, PDRM dah kena 2-0 dengan skuad Malaysia Universiti, risau min tengok harap Jumaat ini pasukan kita jangan buat mudah. Risau nanti kena counter attack habis. Siapa pun lawan kita, lawan habis-habisan," kata penyokong Kedah, darah hijau kuning supporters club.

"Lepas ini mungkin Kedah juga akan cuba gunakan skuad kedua dalam menentang Bukit Tambun, kejutan menanti," kata penyokong Sang Kenari, Haziq Haziq yang sepertinya tidak mengharapkan KDA FC mengikut jejak PDRM mempertaruhkan pasukan kedua mereka pada aksi menentang MUFT.

Jika dibandingkan dengan MUFT, Bukit Tambun jauh lebih sukar dihadapi kerana kelab Liga A1 Semi Pro itu akan mempertaruhkan pemain berkualiti seperti bekas kapten pasukan Penang FC, Abdul Qayyum Jabrullah dan Muhammad Rafiuddin Roddin.

Oleh itu, bagi mengelak badi PDRM berulang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat ini, Sang Kenari perlu menurunkan pemain utama mereka juga seperti penyerang berbisa iaitu Ebenezer Assifuah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram