[VIDEO] Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung 6 hari lagi


Reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan disambung selama enam hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat.

TEMPOH reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia akibat dibunuh, disambung selama enam hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret, Ainaa Muhamad Kamal berikutan tahanan reman tujuh hari yang berakhir pada Jumaat.

Peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin, mengesahkan perkara itu ketika ditemui wartawan di luar bilik mahkamah pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Saya dianiaya, ini semua fitnah', bapa Zayn Rayyan tolak dakwaan bunuh anak

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

Pasangan itu itu turut dikerumuni sekumpulan media selepas mereka dibawa keluar oleh polis dalam keadaan bergari di kompleks mahkamah.

Pada masa sama, sekumpulan penyokong yang dipercayai ahli keluarga turut hadir di perkarangan mahkamah tersebut.

Pada 31 Mei lalu, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor kira-kira pukul 11 pagi dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa Zayn Rayyan telah dibunuh.

Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai, Petaling Jaya dan mayatnya kemudian ditemui berhampiran sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Pangsapuri Idaman.

Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa dia telah dibunuh.

Dalam siasatan, pasukan forensik polis menyiasat lokasi mayat ditemui serta kawasan sekitar di Damansara Damai.

Pemeriksaan DNA secara besar-besaran juga telah dijalankan, dan 228 sampel telah dikumpulkan.

Saksi, termasuk mereka yang mendakwa kali terakhir melihat kanak-kanak autisme itu masih hidup, turut dibawa ke tempat kejadian bagi membantu penyiasat.

Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan dilihat memasuki Mahkamah Majistret kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat. Reman awal pasangan suami isteri itu sepatutnya tamat pada Jumaat.

Sambil dikawal ketat polis, bapa Zayn Rayyan turut melaungkan 'Saya dianiaya, ini semua fitnah', dan beberapa individu dipercayai ahli keluarga turut menjerit sebelum kedua-duanya memasuki mahkamah untuk prosiding reman. — TheStar/ NURBAITI HAMDAN dan FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram