TERENGGANU FC (TFC) sudah boleh menarik nafas lega apabila penyerang import utama, Ivan Mamut dilaporkan kembali ke kem latihan skuad Sang Penyu selepas bertarung dengan kecederaan dialaminya.
Terdahulu penyerang kelahiran Split, Croatia berkenaan mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim yang menyaksikan Mamut perlu berehat panjang.
Selepas hampir dua bulan tidak menceriakan penyokong kelab Pantai Timur itu, ketajaman penyudah Mamut untuk membantu memberi kemenangan kepada Terengganu pastinya ditunggu-tunggu oleh pemain ke-12 mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi sengit liga tertangguh seketika, pengadil tinggalkan padang angkara sakit perut
BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO
Perkembangan mengenai pemain berusia 27 tahun berkenaan dikongsikan oleh Pengarah Sukan TFC, Zul Fadhli Rozi yang memberitahu bahawa Mamut telah selesai menjalani rawatan bersama pakar di Croatia.
Menurutnya, Terengganu sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Mamut kembali ke Croatia untuk menjalani rawatan bersama pakar di tanah airnya selama enam minggu dan dijadualkan untuk kembali ke bumi Darul Iman pada Isnin.
"Pihak perubatan Terengganu FC akan membuat pemeriksaan seterusnya apabila Ivan tiba disini (Malaysia) untuk memastikan sama ada dia sudah bersedia untuk menjalani latihan penuh bersama pasukan ataupun masih perlu meneruskan rawatan pemulihan bersama pihak perubatan Terengganu FC.
"Sememangnya pasukan sangat memerlukan ketajaman penyudah pada ketika ini dan kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh Ivan mampu untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan. Sama-sama kita doakan Ivan segera sembuh sembuh untuk kembali membantu pasukan bagi saingan musim ini," katanya memetik laporan pada media sosial.
Kepulangan Mamut ke kem Terengganu tepat pada masanya susulan selepas ini skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akan menghadapi cabaran getir bertemu Perak bagi saingan pembukaan Piala FA pada 14 Jun nanti.
Menghitung hari sebelum perlawanan penting itu, ada penyokong memberi buah fikiran mereka dengan mencadangkan agar Mamut digandingkan bersama penyerang import Piala MFL iaitu Chijioke Chukwu berbanding Ismahil Akinade.
"Saya bersetuju Ivan bergandingan dengan Chijioke sebagai penyerang. Ismahil kurang sengat dan kurang hebat. Dengan keadaan pasukan nak maju ke depan, adalah lebih baik Ivan dan Chijioke jadi penyerang bersama," kata penyokong TFC, Lan Taman.
"Kalau lawan Johor Darul Ta'zim pula cuba letak tiga import di depan. Chijioke sebagai sayap kiri, Mamut penyerang tengah, Ismahil sebagai penyerang kanan," cadang penyokong skuad Sang Penyu, Ahmad Bin Alias.
Nama Chijioke terus disebut-sebut selepas pemain itu menjaringkan gol ketika berdepan Perak FC. — Facebook/TFC
Sekiranya Chijioke diturunkan dalam perlawanan menentang Perak, ia pasti akan memberi mimpi ngeri buat skuad The Bos Gaurus apabila penyerang import Piala MFL itu antara penjaring ketka kekalahan 1-3 mereka di tangan skuad Penyu/
Ketika perlawanan pertama Liga Super itu, Chijioke yang baru sahaja dimasukkan kurang dari tiga minit mudah membaca hantaran Engku Nur Syakir untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Haziq Nadzli.
Gol tersebut sudah tentu menjadikannya bahan bualan hangat orang ramai memandangkan pemain dari Nigeria itu beraksi dalam liga sosial tanah air beberapa tahun sahaja dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram