SELANGOR FC membuktikan bahawa mereka sudah bersiap sedia untuk menjadi pencabar terkuat Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 selepas tidak mempunyai masalah untuk menjuarai Kejuaraan RCTI Sports Premium 2024 pada Ahad.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta, Jakarta, Indonesia, anak buah Nidzam Jamil menewaskan Persija Jakarta dengan keputusan 1-0 hasil tandukkan Alvin Fortes pada minit ketiga.
Kejuaraan empat penjuru yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$30,000 (RM140,000) itu juga disertai Sabah FC dan satu lagi wakil kelab dari Liga Divisyen Satu Indonesia iaitu PSIS Semarang.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Indonesia 'berdekah' tengok bas Selangor sangkut bawah jambatan
Kemenangan di bumi Jakarta itu juga menjadi amaran awal bahawa Gergasi Merah bukan sekadar pasukan pelengkap jadual di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) nanti kerana mereka akan hadir memberi saingan sengit kepada kelab Asia lain.
Kejayaan Selangor FC itu bagaimanapun dibayar dengan harga mahal apabila pemain sayap Gergasi Merah, Reziq Bani Hani difahamkan mengalami kecederaan ketika perlawanan akhir menentang skuad Kemayoran Tigers.
Difahamkan, pemain kebangsaan Jordan Bawah 23 tahun itu diterjah pemain Persija Jakarta sehingga memaksa Nidzam untuk memasukkan Mukhairi Ajmal menggantikan Reziq Bani pada minit ke-37 bagi mengurangkan risiko kecederaan yang dialaminya.
Status kecederaan penyerang berusia 22 tahun berkenaan semakin meresahkan penyokong Gergasi Merah apabila tular gambar Reziq Bani menaiki kerusi roda ketika upacara penyampaian pingat dan trofi RCTI Premium Sports.
Reziq Bani (kanan) ketika perlawanan menentang Persija. — Facebook/SelangorFC
"Pemain import, Reziq Bani Hani mendapat kecederaan serius sehingga terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda," kata penyokong Gergasi Merah, Musa Ismail.
"Reziq aduh, siap pakai kerusi roda. Macam serius saja sakit yang dialaminya itu," tambah penyokong Selangor FC, Saiful Ridzuwan.
Kebimbangan penyokong Gergasi Merah bagaimanapun masih belum terjawab susulan pihak pengurusan masih belum berkongsi mengenai maklumat lanjut tentang status kecederaan penyerang baharu Selangor itu.
Sekiranya kecederaan Reziq Bani memaksa dia untuk berehat lebih lama, Selangor FC nampaknya akan bergelut untuk mencari pemain di bahagian serangan susulan Faisal Halim juga masih berada dalam fasa pemulihan.
Oleh itu, Nidzam nampaknya perlu mencari alternatif pemain muda lain seperti Harry Danish dan Danial Asri untuk mengisi kekosongan dua tonggak berkenaan sehingga mereka disahkan dapat kembali beraksi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram