Bek muda Perak dikhabar cedera, nama bekas tonggak KDN FC diseru turun lawan Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Peningkatan ketara daripada Aiman sejak di skuad B-23 Perak membolehkannya dijulang penyokong skuad TBG. — Facebook/Perak FC

BERMAIN di hadapan ribuan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan satu tugas yang sukar buat Perak FC dengan skuad Hijau Kuning pastinya ingin mendapatkan kemenangan pertama di rumah sendiri.

The Bos Gaurus (TBG) pula hadir ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dengan misi wajib menang berikutan kekalahan dalam dua perlawanan menentang Terengganu Fc dan PDRM FC sebelum ini.

Skuad Seladang tewas 1-3 kepada pasukan Sang Penyu dalam aksi pertama Liga Super pada 11 Mei lalu dan selepas itu, kekalahan tipis 2-3 di tangan PDRM FC di Ipoh, Perak pada minggu lepas.

BACA LAGI: Pernah malukan Perak di final 2019, bek kental Pantai Timur calon perkuat kubu The Bos Gaurus

BACA LAGI: Rejaman kejam, winning mentaliti Malaysia malukan Thailand di Piala Dunia

Namun, perlawanan getir menentang skuad Hijau Kuning pada malam ini hadir dengan berita kurang enak dari kem Perak apabila difahamkan skuad Seladang akan turun tanpa bek kanan utama mereka iaitu Aiman Yusni.

Menerusi khabar angin dalam kalangan penyokong Perak di media sosial, bek kanan muda berkenaan dikhabarkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak tersenarai dalam perlawanan bertemu Kedah di Alor Setar.

Hal ini jelas membawa kerisauan dalam penyokong Perak susulan pemain berusia 22 tahun itu merupakan tunjang utama TBG di bahagian pertahanan kanan dalam dua aksi bertemu Terengganu dan PDRM FC.

Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun itu mendapat kepercayaan Yusri Che Lah untuk bermain 90 minit perlawanan menentang TFC dan The Cops. Aiman mendapat pujian penyokong apabila cukup konsisten dalam menyekat serangan pemain dua kelab itu.

WhatsApp Image 2024-05-24 at 13.08.28

Ariff Ar-Rasyid masih belum mendapat minit permainan bersama Perak FC. — Facebook/Perak FC

Susulan kehilangan khidmat Aiman, penyokong hadir dengan cadangan dan hasrat untuk melihat Ariff Ar-Rasyid Ariffin untuk turun menggantikan pemain muda itu bagi menjaga bahagian pertahanan kanan Perak.

Ariff Ar-Rasyid menyertai Perak pada awal musim ini namun masih belum mendapat kesempatan menjadi kesebelasan utama skuad Seladang mahupun sebagai pemain di bangku simpanan.

Bekas pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC itu sebenarnya bermain sebagai defensive midfield, namun Ariff Ar-Rasyid juga berkemampuan beraksi di posisi pertahanan kanan dan bek tengah.

Untuk rekod, bersama skuad Kijang Emas, Ariff Ar-Rasyid diturunkan dalam 16 perlawanan bagi semua kejohanan dan diberi kepercayaan menjadi kesebelasan utama dalam 13 aksi Liga Super untuk musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram