PERTEMBUNGAN paling dinantikan peminat bola sepak negara apabila derbi Nusantara antara Malaysia dan Indonesia bakal jadi kenyataan tidak lama lagi selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporka sedang mengusahakan perkara itu.
Menerusi perkongsian Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau mengesahkan bahawa idea aksi persahabatan berkenaan masih dalam proses perbincangan bersama Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
Kedua-dua individu penting dari persatuan bola sepak negara masing-masing itu bertemu di Kongres Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) Kali Ke-74 yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi guna penyodok tolak air di JIS macam SNBJ dulu-dulu, fans Indonesia bengang dengan PSSI
Bukan sekadar derbi Nusantara, kemungkinan perlawananan berkenaan akan disertai Fiji dan India yang turut menunjukkan minat untuk mengadakan aksi persahabatan dan sekali gus menjadikan ia sebagai kejohanan empat penjuru.
Perlawanan yang dirancang untuk diadakan di Jakarta itu akan berlaku sekiranya Malaysia atau Indonesia tidak layak ke pusingan seterusnya di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Saya ada bertemu Presiden PSSI, Erick Thohir dan sudah berapa kali berjumpa dengan beliau. Saya juga berjumpa dengan Madame Pang dalam beberapa kali mesyuarat termasuk Presiden Brazil sebelum kongres bermula.
“Kita (Malaysia) akan meneroka beberapa perkara tetapi saya akan umumkan bila tiba masanya. Ketika ini, semua masih dalam proses perbincangan.
Hamidin memberitahu cadangan untuk bertemu Indonesia bagi aksi persahabatan. — FAM
"Mereka (India dan Fiji) pada awalnya ingin menyertai dalam kejohanan perlawanan empat penjuru pada jendela FIFA Jun ini tetapi Malaysia memiliki aksi Kelayakan Piala Asia 2026.
“Mereka mungkin mencadangkan aksi pada bulan September, Oktober atau November bagi aksi empat penjuru di Jakarta itu tapi semua ini bergantung kepada kelayakan Malaysia ke pusingan ketiga Piala Dunia/Piala Asia 2026," katanya memetik video temu bual bersama portal Harimau Malaya.
Berita tersebut disambut baik oleh penyokong bola sepak domestik yang rata-ratanya teruja untuk menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi berkenaan selepas kali terakhir berlaku pada Februari 2019.
Namun, berbeza dengan penyokong Indonesia yang majoriti mereka menolak idea tersebut sehingga ada yang menyarankan agar PSSI hanya menurunkan skuad Bawah 16 (B-16) tahun menentang skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan itu.
Indonesia layak sehingga ke pusingan 16 Piala Asia 2023 awal tahun ini. — Agensi
Kemarahan penyokong Indonesia itu timbul selepas mereka mendakwa bahawa Presiden FAM, Hamidin sebelum ini pernah memperlekeh kualiti skuad Garuda.
"Hamidin ini pernah katakan bahawa Indonesia tidak sama taraf dengan Malaysia tapi sekarang ini merayu-rayu pula. Turunkan sahaja pasukan B-16 lawan Malaysia," kata penyokong Garuda, Mar.
"Kenapa kita perlu mengadakan aksi persahabatan dengan Malaysia, ibarat Real Madrid menentang Nottingham Forest," tambah peminat Indonesia, Zakean yang menyamakan pasukan Indonesia kendalian Shin Tae-yong seperti Real Madrid.
Dari segi kedudukan ranking, Indonesia akhirnya berjaya memintas Malaysia dalam kedudukan FIFA selepas enam tahun. Skuad Garuda melonjak ke tangga ke-134 dunia sementara Malaysia jatuh enam tangga untuk menghuni kedudukan ke-138.
Malaysia terpaksa akur hilang 14.53 mata dan kehilangan mata yang agak besar itu menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon kini menghimpun 1094.54 mata bagi kemaskini terbaharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram