[VIDEO] Aksi guna penyodok tolak air di JIS macam SNBJ dulu-dulu, fans Indonesia bengang dengan PSSI


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Tangkap layar keadaan JIS dilanda banjir sebelum sepak mula antara Argentina dan Brazil baru-baru ini.

PERLAWANAN suku akhir Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) antara Brazil dan Argentina yang diadakan di Jakarta International Stadium (JIS) pada Jumaat minggu lepas terpaksa ditangguhkan sementara.

Aksi suku akhir itu dijadualkan bermula pada pukul 8.00 malam namun sepak mula tertangguh kira-kira 30 minit berikutan hujan lebat yang membadai Jakarta sehingga menyebabkan padang JIS dinaiki air.

Banjir dan kebocoran berlaku di beberapa sudut stadium kerana bukan setakat rumput, kawasan luar padang pun dinaiki air sehingga mengakibatkan ramai penyokong terpaksa keluar stadium dengan seluar bergulung akibat banjir yang mencecah kaki.

Jawatankuasa pelaksana pada akhirnya terpaksa menggunakan penyodok untuk mengeringkan air dari padang JIS sebelum pertandingan boleh dimulakan.

Senario itu saling tak ubah seperti mana yang pernah berlaku di Stadium Nasional, Bukit Jalil membabitkan aksi skuad Harimau Malaya dan juga saingan domestik sebelum ini.

Selepas perlawanan disambung semula, Argentina meraih kemenangan bergaya selepas menewaskan Brazil dengan jaringan 3-0 dengan Claudio Echeverri menjadi bintang dengan menjaringkan hatrik.

Warganet Indonesia akhirnya menyalahkan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir kerana badan induk tersebut menggantikan rumput yang dikatakan sudah mengikut piawaian FIFA.

Ahli politik Indonesia, Anggara Wicitra Sastroamidjojo turut meminta agar stadium yang dibina dengan wang rakyat itu disiasat secara menyeluruh kerana kekerapan banjir berlaku di dalam dan luar stadium.

“Untuk stadium yang berharga 4,5 trilion, ternyata JIS tidak semaju yang dijanjikan,” kata Anggara pada Sabtu.

Insiden jawatankuasa JIS menggunakan penyodok untuk menolak air itu juga seakan-akan dejavu buat penyokong bola sepak tanah air apabila sebelum ini petugas Stadium Nasional, Bukit Jalil dilihat terpaksa menggunakan peralatan sama untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram