Pengganti Faisal Halim antara 4 pemain tumpuan pertembungan KDA-Gergasi Merah


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Mukhairi (kiri) dan Syafiq (kanan) antara pemain tumpuan dalam perlawanan Selangor dan Kedah pada Sabtu.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) akan turun sekali lagi ke Lembah Klang bagi berdepan Selangor FC dalam perlawanan kedua Liga Super pada 18 Mei nanti.

Bakal menjadi aksi kedua Sang Kenari, skrip berbeza pula buat Selangor yang turun kali pertama musim ini selepas menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jumaat lalu.

Sudah pasti, sentimen simpati atas nasib yang menimpa pemain Selangor, Faisal Halim akan menghiasi perlawanan ini.

BACA LAGI: Bukan Kedah sahaja tiada jersi, Selangor pernah 2 kali pakai design 'recycle'

BACA LAGI: 'Dah berapa musim dengan JDT', fans Kedah kurang senang diundi sebaris Harimau Selatan dalam Piala FA

Bagaimanapun, aksi kedua Liga Super mesti diteruskan dan tiga mata perlu dicari buat kedua-dua pasukan.

Beberapa pemain pastinya akan menjadi fokus lensa kamera menjelang aksi tersebut, dengan itu Majoriti senaraikan empat bintang bakal jadi pemain tumpuan pada Sabtu ini:

1. Alvin Fortes (Selangor)

Pada mulanya ramai meragukan keupayaan bekas pemain Ratchaburi FC, Alvin Fortes selepas rekod hambar dalam Liga Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun selepas melihat persembahannya dalam kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024, ramai penyokong mula terpikat dengan aksi lincahnya.

Itu belum lagi dengan tiga jaringan yang dihasilkannya dalam dua perlawanan menentang Brunei DPMM FC dan Young Elephants FC.

Malah pemerhati bola sepak juga sudah bercakap pemain kelahiran Belanda dengan mengatakan dia akan menjadi aset penting buat Gergasi Merah untuk mencabar kejuaraan Liga Super 2024/25.

2. Syafiq Ahmad (Kedah)

Tidak dinafikan, Syafiq merupakan penyerang berbisa di dalam negara ketika ini.

Ketajamannya sememangnya terserlah terutamanya sewaktu mewakili Malaysia.

Namun, pada aksi pertama liga berdepan PDRM FC, Syafiq membuktikan kemampuannya sekali lagi selepas berjaya meledak gol terpantas musim ini seawal 34 saat.

Ia membuktikan yang Syafiq mempunyai ketajaman di depan pintu gol dan dia boleh menjadi watak penting untuk Kedah mendapatkan tiga mata berdepan Selangor.

Pertahanan Selangor mesti berjaga-jaga dengan kualiti Syafiq.

3. Mukhairi Ajmal (Selangor)

Nama Mukhairi dicanang sebagai pengganti utama Faisal Halim yang mengalami kecederaan akibat perbuatan khianat seorang individu yang mungkin tidak berpuas hati dengannya.

Kapten Harimau Muda itu sebelum ini pernah beraksi di posisi sayap semasa bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe memegang Selangor pada musim lalu.

Prestasi semasa Mukhairi juga berada di landasan yang baik apabila telah meledak dua jaringan bertemu juara Liga Laos, Young Elephants.

Gerakan Mukhairi mungkin tidak selincah Faisal, tetapi sepakan dan teknikal mengawal bola mungkin setaraf bintang negara itu.

4. Jose Cleylton Santos (Kedah)

Kemampuan sebenar Cleylton Santos akan diuji oleh barisan serangan Selangor yang dahagakan jaringan gol selepas mereka terpaksa menangguhkan perlawanan pertama bertemu JDT.

Cleylton akan berdepan dengan penyerang berfizikal sasa Selangor, Ronnie Fernandez serta kelincahan Alvin yang pastinya akan mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah.

Selangor yang memiliki bahagian tengah berkualiti pastinya menjadi ujian utama Cleylton untuk menangkis segala hantaran yang diberikan mereka kepada bahagian serangan Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram