DI atas kertas mungkin Sri Pahang FC dilihat akan mudah mendapatkan tiga mata penuh bagi aksi pertama Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh, Pahang pada Sabtu.
Namun, hakikatnya skuad Tok Gajah tidak memandang enteng kemampuan kelab dengan jolokan Kijang Emas itu sehingga pasukan kendalian Fandi Ahmad tampak sudah mempersiapkan segala kemungkinan bagi perlawanan Liga Super pertama mereka.
Antara persiapan menarik dan baharu yang dilakukan oleh Sri Pahang apabila bintang naturalisasi mereka iaitu Sergio Aguero dilihat memainkan peranan berlainan daripada skopnya sebagai pemain tengah.
BACA LAGI: Tak jadi rekrut bintang Uzbekistan, Tok Gajah pilih penjaga gol Kedah ganti Izham Tarmizi
BACA LAGI: Lupakan tawaran ke Jakarta, Sergio Aguero sign 2 tahun kontrak Sri Pahang demi projek gergasi
Antara aksi Aguero ketika sesi latihan menjelang perlawanan bertemu KDN FC. — Facebook/SriPahang
Menerusi foto terbaharu sesi latihan yang dikongsikan laman Facebook rasmi pasukan Tok Gajah, pemain berusia 30 tahun berkenaan dilihat sedang memainkan peranan sebagai penjaga gol dengan aksinya sedang menampan bola.
Gambar berkenaan mencuri perhatian para penyokong skuad Tok Gajah dengan rata-rata peminat terhibur menyaksikan kelakukan dan kesanggupan pemain Harimau Malaya berkenaan untuk mencuba peranan baharu.
“Bijak tindakan. Kalau penjaga gol kena kad merah, Aguero sudah sedia jadi benteng terakhir Sri Pahang,” kata penyokong Sri Pahang, Harris Mohamad.
“Oh patutlah Izham Tarmizi dah balik JDT (Johor Darul Ta’zim), ada yang lagi hebat rupanya,” tambah penyokong Tok Gajah, Mat Jenin.
“Selepas Wan Syazmin, Aguero sah menjadi rekrut terbaharu posisi penjaga gol untuk musim baharu ini dan akan diletakkan sebagai penjaga gol keempat,” ujar laman penyokong, Twt Bola Pahang.
Untuk rekod, arkitek kelahiran Argentina itu difahamkan sudah sepakat menandatangani perjanjian dua tahun dengan skuad Tok Gajah dan dijangka kekal menjadi antara ketua pasukan untuk musim 2024-2025.
Musim lepas, kecoh apabila Aguero dikatakan akan meninggalkan Sri Pahang selepas dikhabarkan menerima tawaran lumayan daripada kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta bagi menguatkan pasukan tersebut.
Dalam pada itu, Sri Pahang kini dilengkapi dengan khidmat dari tiga lagi penjaga gol Sri Pahang iaitu Zarif Irfan Hashimuddin, Azfar Arif Mohd Sukri dan penjaga gol muda secara pinjaman dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, Wan Syazmin Wan Rozaimi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram