ZAMAN sewaktu di peringkat sekolah menengah merupakan momen berharga yang sukar dilupakan.
Antara kenangan indah persekolahan adalah sewaktu mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dikelilingi para guru dan ibu bapa di samping para pelajar.
Ia juga menjadi kenangan terakhir yang akan sentiasa dikenang apabila kita sudah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.
BACA LAGI: KPM pertimbang ubah tarikh umum keputusan SPM 2023
BACA LAGI: Tukar tarikh umum keputusan SPM ke 23 Mei demi mudahkan guru — NUTP
Pelajar yang cemerlang akan memberi inspirasi kepada pelajar lain. — Gambar hiasan
Sebelum ini, ramai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan untuk meminda tarikh umum keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya dapat memudahkan golongan guru yang sudah melakukan perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei ini.
Walaubagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya mengekalkan 27 Mei ini sebagai tarikh rasmi umum keputusan.
Para pelajar juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan mereka melalui myresultspm.moe.gov.my selain semakan melalui melalui mySMS dengan menaip SPM (jarak) MyKad (jarak) nombor indeks dan menghantarnya ke 15888 bermula pukul 10 pagi pada 27 Mei hingga 6 petang pada 2 Jun.
Banyak reaksi berbeza yang disuarakan oleh netizen menerusi Facebook susulan tarikh tersebut kekal.
Antaranya, seorang pengguna, Sharifah Salleh kasihan dengan anak kelahiran 2006 kerana banyak kehilangan momen penting dalam kehidupan.
Kenangan terindah pelajar menerima keputusan peperiksaan SPM.
"Saya kesian dengan anak-anak batch 06 ini. Banyak hilang momen istimewa selama menjadi pelajar.
"Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pun dibuat sewaktu cuti. Pentaksiran Tingkatan Tiga pula dimansuhkan.
"Sekarang, kenangan terakhir sekolah menengah pula tiada. Padahal waktu ambil SPM ini kenangan indah untuk jumpa kawan-kawan, cikgu-cikgu, pelajar bawah usia kita," katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohamad Zahari Hamza kecewa apabila tarikh itu tetap dikekalkan kerana dilihat seolah-olah tidak peka dengan takwim sekolah.
"Nampak sangat tidak peka dengan takwim sekolah. Mana logiknya keputusan diumumkan cikgu yang terlibat tiada di sekolah.
"Bukan sekadar slip periksa sahaja yang diberi sebaliknya ada banyak dokumen penting lain yang akan serahkan sama untuk beri kemudahan segera lepasan SPM untuk isi pelbagai borang lanjutan belajar atau permohonan pekerjaan.
"Juga masa itulah pihak sekolah mengutip hutang sekolah yang masih tertunggak. Siapa yang nak buat semua itu kalau bukan guru kelas yang perlu uruskan semuanya," luahnya.
Zaman persekolahan merupakan detik bermakna buat seseorang.
Seorang pengguna, Norhayati Hashim pula menyokong pendapat Zahari dan berharap pihak kementerian lebih peka soal tarikh-tarikh penting berkaitan hari persekolahan.
"Sepatutnya pihak kementerian pelajaran lebih peka dan teliti dengan tarikh-tarikh penting berkaitan dengan hari persekolahan. Takwim dan jadual kementerian yang pegang," tulisnya.
Norhayati turut berharap agar tarikh pengumuman SPM tidak diambil enteng.
"Jangan pandang rendah dengan tarikh pengumuman SPM. Perkara yang nampak kecil bagi pihak kementerian tetapi besar makna bagi setiap pelajar SPM," tulisnya.
Tidak hanya itu, seorang pengguna, Norzah Endut pula masih berharap agar tarikh itu diubah.
"Kenapa tidak tunda sahaja tarikh? Kalau tidak boleh percepatkan tarikh biar kena pada hari persekolahan.
"Perasaan beratur beramai-ramai untuk ambil keputusan, dapat jumpa guru-guru. Lain perasaan waktu detik itu. Apa-apa pun semoga ada yang terbaik," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram