Ini adalah Malaysia, kami ada karakter dan mentaliti juara — Faisal Halim


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Faisal menjaringkan gol pembukaan ketika mengikat China pada Sabtu. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan nyaris melakar kejutan mengatasi China susulan kejayaan mengikat pasukan ranking ke-80 dunia dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China pada Sabtu.

Keputusan seri itu juga menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon kekal dengan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Harimau Malaya yang berada di ranking ke-136 dunia terlebih dulu membuat penyokong tuan rumah terdiam seketika apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 selepas menerima hantaran Akhyar Rashid.

China bagaimanapun kekal mendominasi perlawanan, memaksa skuad bimbingan Pan-gon bekerja keras terutama menyerap asakan bertali arus tuan rumah yang berusaha memburu gol penyamaan.

Namun selepas 30 minit permainan, gawang Harimau Malaya akhirnya bolos juga menerusi rembatan deras Lin Liangming yang gagal diselamatkan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-36.

Pertukaran dilakukan Pan-gon pada permulaan separuh masa kedua apabila membawa masuk Arif Aiman Hanapi, Syahmi Safari dan Junior Eldstal.

Kemasukan pemain baharu itu dalam usaha untuk menambah baik persembahan Harimau Malaya sebelum memastikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.

Kim Pan-gon

Pan-gon sedang memberikan arahan kepada anak-anak buahnya ketika menentang China.

Faisal bagaimanapun berkata, dia amat gembira dengan keputusan menentang China meskipun seri di tempat lawan dan aksi itu merupakan hadiah buat semua rakyat Malaysia.

"Saya rasa sangat bagus, tetapi perlawanan ini sangat susah untuk kami kerana sedar kami bukan di tahap itu.

"Tapi kami cuba untuk melawan dengan China kerana mereka merupakan pasukan kuat, saya mahu mengucapkan syabas kepada semua pemain kerana mengikuti semua arahan jurulatih (Pan-gon).

"Hari ini (Sabtu) kita boleh lihat Malaysia mempunyai karakter, mentaliti juara tetapi tiada rezeki walaupun kami menjaringkan dulu gol pendahuluan.

"Selepas itu kami dibolosi, untuk saya ia satu permainan yang bagus. Kita boleh belajar sesuatu, ini bukan untuk kami atau rakan sepasukan tetapi untuk rakyat Malaysia," katanya selepas perlawanan menentang China. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram