SYARIKAT kereta Chery Malaysia tampil memberikan penjelasan berhubung insiden melibatkan sebuah model kenderaanya, OMODA 5 yang tular selepas mengalami kerosakan komponen pada gandar (axle).
Dalam satu kenyataaan pada Isnin, syarikat itu memaklumkan pihaknya sudah menghubungi dan berkomunikasi dengan pelanggan tersebut susulan kejadian yang berlaku.
"Kenderaannya sudahpun dibawa ke pusat servis kami untuk pemeriksaan dan penyiasatan menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah langkah proaktif, selaras dengan protokol keselamatan syarikat, Chery Autom Malaysia juga kini sedang menghubungi pelanggan-pelanggan lain yang terbabit.
"Bagi memberi ketenangan minda, para pelanggan yang khuatir (tentang keadaan kereta) boleh menempah temu janji di pusat servis terdekat untuk pemeriksaan rapi. Pelanggan bagi semua kenderaan yang diperiksa akan menerima laporan penuh," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Chery Malaysia di +603-2771 7070 untuk pertanyaan lanjut.
Pada Ahad, tular mengenai luahan seorang wanita yang kecewa selepas satu daripada komponen kereta yang dipandunya mengalami kerosakan secara tiba-tiba.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook individu bernama Stephanie pada Ahad, kerosakan tersebut berlaku pada gandar belakang kereta jenama Chery Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu juga menimbulkan situasi cemas buat dia dan tiga rakannya yang berada di dalam kereta tersebut ketika melalui selekoh jalan.
Katanya, gandar atau back axle tersebut terputus secara tiba-tiba meskipun tidak melalui jalan berlubang mahupun bonggol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram