Tidur di dalam masjid harus tetapi bersyarat, elak orang ambil kesempatan — Mufti


  • Mukmin
  • Rabu, 01 Mei 2024

Pemuda menghulurkan bantal kepada jemaah-jemaah yang nyenyak tidur di dalam Masjid Sejuta Pemuda, Sukabumi di Jawa Barat, Indonesia. 

SEGELINTIR orang berasa penat selepas bekerja atau memandu dalam perjalanan yang jauh sehingga memutuskan untuk tidur seketika di dalam masjid.

Namun, kebiasaannya kita hanya akan ditegur jika tidur di dalam masjid kerana dianggap tempat itu tidak bersesuaian untuk beristirahat.

Tetapi, lain pula yang berlaku di Indonesia apabila seorang pemuda menghulurkan bantal kepada beberapa jemaah yang sedang lena di dalam Masjid Sejuta Pemuda, Sukabumi di Jawa Barat, Indonesia.

Rakaman aksi murni pemuda itu menjadi tular di media sosial @Masjidsejutapemuda sehingga menerima banyak reaksi positif yang memuji tindakan tersebut.

Ada pula yang bertindak membandingkan masjid berkenaan dengan masjid lain yang tidak membenarkan untuk tidur di dalam masjid.

"Banyak masjid tak beberapa nak mesra musafir. Nak tidur pun kena dekat luar atas lantai biasa.

"Nak dekat lima hingga enam masjid pergi semua tak mesra. Ada masjid pukul 7 pagi siap halau lagi kata nak tutup pagar," tulis @zikriadamn.

BACA LAGI: Saf lompong sebabkan solat tak sempurna? Mufti Kelantan tekankan perlunya cari kesempurnaan

tiduran_20150619_195022

Harus hukumnya tidur di dalam masjid tetapi ada perkara yang perlu dititikberatkan. — Gambar Hiasan

Jadi, apakah hukum sebenar tidur di dalam masjid sehingga ada masjid yang melarang dan ada pula yang membenarkan?

Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hukum sebenar tidur di dalam masjid adalah harus tetapi dengan bersyarat.

Antara syaratnya adalah perlu mendapat keizinan daripada pihak pengurusan masjid.

"Dalam Islam ajar kita menghormati peraturan, kalau masjid itu terang-terang sudah bertulis dilarang tidur jadi tidak boleh," katanya kepada Majoriti.

Ini kerana, Mohamad Shukri mendedahkan bahawa terdapat kejadian tidak bermoral pernah berlaku di masjid negara ini.

"Ada kejadian di masjid yang pernah berlaku, selepas orang solat isyak, ada yang bawa pasangan melakukan perkara sumbang," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor

WhatsApp Image 2024-04-29 at 6.50.59 PM

Tidur di dalam masjid perlulah mendapat keizinan supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan. — Gambar Hiasan

Mohamad Shukri berpendapat keizinan daripada pihak masjid penting bagi mengelak individu-individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

"Elak orang ambil kesempatan macam larikan tabung masjid atau melakukan aktiviti-aktiviti berlainan dari hukum syarak," katanya.

Selain itu, syarat yang perlu dititikberatkan adalah dari segi kebersihan supaya dapat memberi keselesaan untuk umat Islam beribadah.

"Seseorang itu perlu dalam keadaan bersih supaya tidak mengotorkan masjid yang merupakan rumah ALLAH," katanya.

Mohamad Shukri berkata, syarat lain yang perlu diberi perhatian adalah tidak tidur sehingga mengganggu jemaah yang lain.

"Ada masjid yang jemaah tidur bergelimpangan dan lintang-pukang sehingga mengganggu jemaah lain untuk solat berjemaah.

"Boleh bawa kepada haram kalau sudah mengganggu jemaah lain yang mahu solat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram