Isu tahanan rumah Najib: Tidak termaktub dalam undang-undang negara — Latheefa Koya


  • Massa
  • Isnin, 22 Apr 2024

Latheefa Koya mengkritik tindakan mahkamah dan kerajaan berhubung permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.

BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengkritik tindakan mahkamah dan kerajaan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.

Katanya, sekiranya dilaksanakan, ia akan menyebabkan gejala rasuah semakin berleluasa dan tidak termaktub dalam undang-undang negara.

"Tahanan rumah adalah perintah yang menyalahi undang-undang. Ia tidak wujud di bawah undang-undang kita.

"Ia tiada dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Penjara. Ia bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

"Jika Najib dibebaskan atas penahanannya, rasuah akan dihalalkan dan Malaysia akan tenggelam ke tahap republik pisang," ciapnya di laman X (Twitter) miliknya pada Isnin.

BACA LAGI: Peniaga kecil desak haramkan TikTok seperti Indonesia, bimbang senasib pemandu teksi

BACA LAGI: 'Jangan membongak', bekas pesakit kanser tepis dakwaan ejen insurans, kos rawatan kemoterapi hospital kerajaan mahal

Sebelum ini, media melaporkan Najib telah mendapatkan kebenaran semakan kehakiman Titah Adendum atau tambahan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada 1 April lalu.

Dalam notis permohonan itu, beliau memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta-merta memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau enggan terlibat berhubung isu berkenaan dan memaklumkan itu di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram