PERAK FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas tewas 2-3 dalam perlawanan persahabatan berdepan musuh 'El-Clasico Malaya' mereka, Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Skuad The Bos Gaurus (TBG) mendahului permainan dalam separuh masa pertama menerusi jaringan pemain berpenggalaman, Wan Zack Haikal sebelum pemain import dari Korea Selatan, Lee Tae-min menggandakan jaringan buat Perak pada separuh masa kedua.
Manakala, Selangor yang hadir dengan reputasi sebagai naib juara Liga Super tidak mempunyai masalah mengaibkan Perak dengan tiga gol menerusi penyerang baharu Alvin Fortes, Faisal Halim dan Yohandry Orozco.
Walaupun aksi menentang Gergasi Merah itu sekadar pemanas badan sebelum liga bermula namun ia merupakan medium terbaik untuk meneliti perkara yang perlu ditambah baik dan jurulatih juga boleh mencari ramuan sesuai untuk corak permainan mereka.
Antara isu dibangkitkan penyokong tuan rumah adalah keperluan untuk mendapatkan penyerang import bagi menggantikan Luka Milunovic yang dilihat tidak kompeten untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama.
BACA LAGI: Perlawanan uji sistem VAR tidak jejas persiapan kelab-kelab Liga Super
Penyokong lebih gemar Wan Zack menjadi penyerang sandaran Perak. — Facebook/PerakFC
"Penyerang padu tiada. Itu saja lemah lagi. Main cun tapi tidak buat gol je. Kalau Luka tu tidak boleh jadi penyerang utama pun. Dia sekadar pancing sebgai penyerang boleh lah. Terus terang cakap lah, Wan Zack lagi bagus untuk buat gol berbanding dengan Luka tu. Luka tu setakat setting bola untuk penyerang utama saja.
"Kalau Perak tiada bajet, batal kontrak Luka kemudian ambil penyerang yang betul-betul padu. Jenis suap bola ikut mana pun boleh gol. Penyerang yang jenis pantang masuk dalam kotak penalti pasti akan goal.
"Penyerang seperti Keita, Repasi, Frank seator, Khalid Jamlus serta V.saravanan. Penyerang jenis itu saja yang perlu ada dekat Perak FC. Kalau dapat mesti Perak FC Juara atau Naib juara Liga super akan datang. Percaya lah. Jika dapat lengkap lah Perak FC. Team scouting Perak perlu kerja keras cari penyerang tersebut," luahan dari penyokong Perak, Adam Adli.
Hasrat penyokong TBG bernama Adam Adli itu nampaknya bakal menjadi realiti apabila ada ura-ura mengatakan seorang penyerang baharu akan tiba pada Khamis (25 April) selepas pengendali Perak Yusri Che Lah, mengesahkan individu itu dijangka tiba minggu hadapan.
BACA LAGI: Belum sampai Perak lagi, tapi import Seladang siap-siap 'follow' 2 tulang belakang TBG
Rekod gol Jordan (kanan) bersama Punjab FC memberi keyakinan penyokong terhadap kebolehannya. — Instagram/JordanWilmar
Pengendali berusia 47 tahun itu dilaporkan berharap penyerang import berkenaan akan segera menyesuaikan diri bersama Perak FC sebelum sepak mula aksi Liga Super pada awal Mei ini.
Sebelum ini, desas-desus kuat mengatakan bahawa skuad Seladang bakal mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Colombia, Wilmar Jordan yang kini beraksi di saingan Liga Super India bersama Punjab FC.
Sebagai rekod, Jordan telah melakukan 15 penampilan untuk Punjab dalam saingan Indian Super League dengan pemain berketinggian 1.79 berkenaan telah menghasilkan lapan gol serta satu bantuan jaringan.
Melihat kepada rekod itu, boleh dikatakan Jordan mempunyai ketajaman yang baik untuk mencari jaringan dan dia mampu untuk memimpin barisan serangan Perak musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram