Berjaya tepis keraguan diri, Din Masjid bangga raih gelaran naib juara BAC bersama Sze Fei


  • Podium
  • Isnin, 15 Apr 2024

Nur Izzuddin (kiri) dan Goh Sze Fei (kanan) bersama pingat naib juara BAC diraih mereka. — Instagram/@nur_izzuddin_97

DARI pandangan kasar, mungkin terbit sedikit kecewa dalam apabila menyaksikan gandingan beregu negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berjaya mendapatkan gelaran juara di Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae serta rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin bagaimana pun tumpas kepada wakil China, Liang Weikeng-Wang Chang di perlawanan akhir 17-21, 21-15, 10-21.

Walaupun kalah, tetapi Izzuddin tidak begitu kecewa kerana mereka tumbang kepada pasangan yang dianggap sebagai calon pilihan untuk memenanginya. Untuk rekod, gandingan Weikeng-Chang merupakan pilihan ketiga kejohanan yang diadakan di China.

BACA LAGI: Zamsaham mohon maaf, akui masalah kewangan punca gaji lambat masuk

Berjaya memperoleh naib juara sudah merupakan kejayaan penuh bererti bagi Izzuddin. Dikenali sebagai Din Masjid, Izzuddin menganggap gelaran naib juara tersebut berjaya memecahkan tembok keraguan dalam dirinya untuk berdepan jagoan badminton dunia.

"Di tengah-tengah keraguan dalam diri, saya berjaya mendapatkan kekuatan untuk bangkit dan bersaing. Melepasi had kemampuan diri sendiri, kami berjaya membawa diri hingga mendapatkan tempat kedua yang merupakan kejayaan dalam angan-angan kami," kata Izzuddin menerusi laman Instagram.

Izzuddin nyata tidak menyangka dengan usaha yang dicurahkannya bersama-sama Sze Fei telah memberikan kegembiraan kepada pengikut badminton Malaysia.

Dia turut mengatakan dengan takdir ALLAH, pasangan beregu negara itu berjaya mencapai kejayaan sekali gus memastikan nama Malaysia tetap berada di pentas podium BAC kali ini.

BACA LAGI: Pemain sensasi tiba saat akhir, nama Matdon dijangka 'mendarat' di Darul Aman

IZZU (1)

Izzudin dan Sze Fei akan ke Piala Thomas sebagai beregu kedua negara. — Instagram/@nur_izzuddin_97

"Saya berasa kagum dengan perjalanan ini, disedarkan dengan kenyataan yang sesukar mana halangan, kejayaan tetap akan datang ke arah kita. Jelas sekali, dalam keadaan paling tidak disangka, bantuan daripada Ilahi akan membimbing kita menuju kejayaan, ALHAMDULILLAH," ujar Izzuddin.

Kegembiraan meraih gelaran naib juara BAC tidak berakhir di situ buat Izzudin serta Sze Fei. Mereka turut disahkan bakal diserap ke dalam skuad kebangsaan bagi saingan Piala Thomas yang akan diadakan pada April 27 hingga 5 Mei di Chengdu, China.

Mereka akan diletakkan sebagai gandingan beregu kedua di belakang pasangan Chia-Wooi Yik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram