[VIDEO] Warna striking ala kelab La Liga, Syihan Hazmi disebut pencetus idea kit ketiga JDT


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Jersi terbaharu JDT boleh didapatkan di JDT Direct, berhampiran dengan Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JDT

SELAIN sibuk dengan persiapan kempen pramusim 2024/2025, Johor Darul Takzim (JDT) juga tidak melepaskan peluang memperkenalkan kit ketiga baharu mereka yang hadir dengan warna terang.

Pelancaran jersi ketiga Harimau Selatan berkenaan dibuat menerusi platform media sosial rasmi mereka dengan empat pemain utama iaitu Romel Morales, Jalil Elias, Nazmi Faiz dan Arif Aiman Hanapi segak memperagakan kit berkenaan.

Menggunakan warna hijau fluorescent sebagai warna utama, jersi keluaran Nike berkenaan disambut baik oleh para penyokong yang beranggapan kit berkenaan akan lebih mempamerkan keyakinan para pemain.

Bukan itu sahaja, ada juga penyokong yang sempat bergurau bahawa pemilihan warna terang itu diinspirasikan oleh jersi penjaga gol musim lepas yang menyaksikan Syihan Hazmi sering menyarung kit kuning cerah ketika beraksi.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari cat hingga kerusi baharu, tapi jenis rumput 'spoil' persediaan Selangor ke Piala AFC

BACA LAGI: Penang-Perak sama handal, pemburuan striker tajam perlu diteruskan

"Semua pemain pakai baju penjaga gol tahun ini, memang tidak akan bolos," kata penyokong JDT, Al-Dark.

"Peninglah pihak lawan nak tengok pemain JDT. Macam semua penjaga gol main," gurau peminat Harimau Selatan, Muhd Hanif.

"Mantaplah jersi yang ketiga JDT ini, setelah lama tiada jersi ketiga JDT," tambah penyokong JDT, May Juliesta.

Selain itu, ada juga berpendapat kit ketiga berkenaan mempunyai aura pasukan La Liga seperti Barcelona musim 2014 dan Villareal pada musim 2022 yang mana ketika itu kelab berkenaan memilih kuning terang sebagai warna utama.

Jersi yang menyerupai kelab di Sepanyol itu sepertinya akan digunakan untuk kempen pramusim di Sepanyol bermula 14 hingga 30 April depan.

Memilih Melia Villaitana Football Centre di perbandaran Benidorm di Alicante, Sepanyol sebagai pangkalan sementara, JDT akan menghadapi tujuh aksi persahabatan dalam tempoh dua minggu tersebut.

Perlawanan yang dijangka akan membabitkan beberapa kelab Eropah itu pastinya membantu juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut untuk meningkatkan standard mereka sebelum Liga M membuka tirai nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram