[VIDEO] Dari cat hingga kerusi baharu, tapi jenis rumput 'spoil' persediaan Selangor ke Piala AFC


  • Podium
  • Sabtu, 06 Apr 2024

Stadium MBPJ berwajah baharu sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 dan juga saingan Liga Juara-Juara AFC 2. — Agensi

FASILITI Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor sebelum ini pernah dikritik kerana menjejaskan keselesaan sepanjang menonton perlawanan.

Dalam pada itu, menjelang persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 dan juga saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), stadium MBPJ tersebut dilihat dinaik taraf beberapa bahagian.

Keadaan stadium tersebut dikongsikan oleh pengguna TikTok, fatamorgana_byfairuz yang menunjukkan beberapa perubahan ketara sudah dilakukan antaranya di bahagian tempat duduk penonton.

Penyokong yang datang menyaksikan perlawanan di stadium MBPJ tidak perlu risau lagi mengenai tempat duduk kerana kerusi plastik sudah dipasang sepenuhnya berbanding sebelum ini apabila terdapat beberapa bahagian yang penyokong terpaksa duduk di atas konkrit.

Selain itu, bumbung juga ditambah di bahagian tempat duduk penonton yang selalu diisi oleh kumpulan penyokong Selangor yang dikenali sebagai Ultrasel.

Bukan itu sahaja, trek balapan juga sedang dibaik pulih kerana sebelum ini permukaannya dilihat sudah rosak dan mula tercabut sekaligus memberikan pandangan yang kurang menyenangkan kepada penonton.

Meskipun sudah berwajah baharu dalam persiapan perlawanan Piala Asia nanti, namun terdapat suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati apabila Stadium MBPJ kekal menggunakan rumput jenis cowgrass.

Ia berikutan apabila sebelum ini pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah menitahkan agar semua padang bola sepak dinaik taraf dengan menukar rumput jenis cowgrass kepada Zeon Zoysia.

Untuk rekod, Selangor berjaya layak ke pentas Asia dan akan mewakili Malaysia dalam saingan ACL2 selepas bergelar naib juara Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram