DERBI utara versi perlawanan persahabatan antara Perak FC menentang Penang FC berakhir dengan keputusan tanpa jaringan apabila merekodkan 0-0 dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Jumaat.
Kedua-dua pasukan yang berpangkalan di utara tanah air itu mempertaruhkan gabungan pemain baharu dan lama dengan ia pasti bertujuan untuk mencari keserasian sebelum sepak mula Liga Malaysia membuka tirai pada Mei ini.
Perlawanan menentang Penang itu merupakan aksi persahabatan ketiga Perak selepas menentang dua kelab Singapura, Geylang International FC dengan keputusan 3-0 dan juga Albirex Niigata yang merekodkan kemenangan 3-1.
Manakala, perlawanan di Ipoh itu merupakan aksi pramusim pertama Penang dengan pengendali, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyenaraikan pemain baharu seperti Aqil Irfanuddin, Richmond, Khairu Azrin, Muhaimin Izuddin, Fernando dan Rodrygo Dias sebagai kesebelasan utama.
Aksi sengit antara dua seteru utara itu bukan hanya terisi dengan skil para tonggak baharu yang direkrut, malah insiden pergaduhan antara pemain turut mewarnai perlawanan pramusim berkenaan.
BACA LAGI: Penang-Perak sama handal, pemburuan striker tajam perlu diteruskan
Kebelasan utama Perak FC dan Penang FC pada aksi persahabatan di Ipoh. — Facebook/PerakFC
Menerusi satu video yang dikongsikan Makan Bola, insiden ganas berlaku apabila penyerang sayap baharu Perak, Lee Tae-min disiku oleh bek kiri Penang, Fairuz Zakaria pada minit ke-54 perlawanan.
Tindakan kontroversi yang dilakukan Fairuz terhadap leher pemain kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun tidak mendapat perhatian pengadil dan Tae-min hanya melepaskan geramnya dengan menolak pertahanan Penang berkenaan.
Insiden berkenaan menjadi tular sehingga ramai penyokong kedua-dua kelab memberi respons, tidak kurang juga ada yang mengimbau kejadian kontroversi yang pernah berlaku melibatkan Penang pada musim 2022.
"Perlawanan persahabatan Penang kalau tidak gaduh macam tak sah," kata penyokong domestik, Arip.
"Gaduh ketika aksi pramusim ini pernah juga jadi masa 2022. Koyak betul Penang FC ini," tambah penyokong, Safwan Jaafar.
BACA LAGI: Panic buying', Gordic termasuk 3 import baharu Liga M tak ubah macam 'tangkap muat'
Adib (tujuh dari kanan) cedera di muka ketika suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC pada 2022. — Agensi
Dua tahun lepas, aksi Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC (TFC) II menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Februari 2022 dicemari insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.
Insiden pada minit ke-45 menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin selepas sepakan penalti yang diambil bekas kapten Penang, Endrik Dos Santos gagal disempurnakannya.
Susulan itu berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad menepis sepakan itu yang kemudiannya berakhir dengan pergaduhan.
Seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan serius di hidungnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram