JENDELA perpindahan kali ini berlangsung dengan rancak kerana majoriti kelab mengambil peluang tersebut membawa masuk pemain baharu.
Juara Liga Super 10 tahun berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan salah sebuah pasukan tersibuk apabila mereka membuat rombakan terhadap senarai import pasukan.
Malah, kelab-kelab bergelut musim lalu seperti Kuching City FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC juga tidak berhenti-henti memperkenalkan wajah-wajah baharu.
Tetapi, terdapat kegusaran timbul akan perancangan pihak pengurusan apabila beberapa pasukan mengambil langkah mudah dengan membuat perpindahan bersifat 'tangkap muat'.
Pendekatan itu diambil disebabkan beberapa faktor, termasuk kekangan kewangan sehingga memaksa masing-masing mendapatkan pemain tidak berprofil tinggi.
Isu tersebut dikhuatiri akan membuatkan kehadiran rekrut baharu, terutamanya dalam kalangan import hanya sia-sia terhadap prestasi pasukan.
Bagaimanapun, langkah itu masih perlu diambil kerana kualiti pemain luar secara amnya lebih baik daripada bintang lokal yang kurang berpengalaman.
Melihat kepada jendela perpindahan kali ini, terdapat tiga rekrut yang mempunyai reputasi kurang memberangsangkan bersama kelab terdahulu bakal mewarnai Liga Super musim depan.
1. Milos Gordic (KDA FC)
Struktur kewangan goyah tidak menghalang hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada membawa masuk wajah-wajah baharu sepanjang jendela perpindahan kali ini.
Penyerang kelahiran Serbia, Milos Gordic merupakan salah seorang perjudian diambil skuad Sang Kenari untuk mempertingkatkan kualiti pasukan.
Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan mengenai kebolehannya untuk mengemudi barisan serangan Kedah apabila orang ramai mendapati prestasinya di kelab terdahulu agak mengecewakan.
BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata
Harapan besar buat Gordic dalam jentera serangan skuad Sang Kenari musim depan.
Berdasarkan maklumat, pemain tinggi lampai itu hanya mencatatkan 31 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 131 penampilan sepanjang kariernya yang sedikit malap.
Tidak cukup dengan itu, tanda tanya turut timbul mengenai kebolehannya di atas padang kerana dia menghabiskan hampir separuh tahun tanpa terikat dengan mana-mana pasukan setelah dilepaskan kelab China, Wuxi Wugo.
Jadi, prestasi kurang memberangsangkan itu menyebabkan rata-rata penyokong KDA FC gusar sekiranya Gordic hanya akan menjadi seorang lagi penyerang mengecewakan dalam sejarah kelab.
2. An Sang-su (Negeri Sembilan FC)
Perancangan lewat tidak menghalang skuad Jang daripada membawa masuk import baharu apabila mereka mengumumkan kehadiran pemain dari Korea Selatan, An Sang-su.
Musim lalu, pemain itu beraksi di divisyen kedua negara kelahirannya bersama Chungbuk Cheongju dengan usianya masih setahun jagung.
BACA LAGI: Liga belum mula, Kedah kena potong 3 mata, denda RM50,000
Rekod Sang-su setakat ini cukup mengecewakan.
Tetapi, apa yang lebih mengejutkan rata-rata penyokong Negeri Sembilan FC adalah kerana pemain itu hanya tampil dalam satu perlawanan.
Rekod itu pasti mengecewakan mereka apabila harapan besar diletakkan di bahu pihak pengurusan dalam membawa masuk pemain berprofil tinggi.
Jadi, sekiranya Sang-su gagal membuktikan nilainya, ia hanya akan menjadi satu lagi musim kurang memberangsangkan buat skuad Jang yang sudah membuat rombakan.
3. Aleksandar Cvetkovic
Kegoyahan benteng pertahanan Sri Pahang FC diperbaiki dengan kemasukan bek tengah dari Serbia, Aleksandar Cvetkovic pada awal jendela perpindahan lalu.
Pemain yang sebelum ini beraksi buat FC Aarau membuatkan ramai tertarik dengannya kerana struktur fizikalnya akan membolehkannya menyekat serangan lawan.
Malah, dia juga dijangka mampu memainkan peranan penting setelah membantu pasukan-pasukan lamanya, lebih-lebih lagi dari aspek pertahanan.
Cvetkovic (kanan) sudah beberapa kali mengalami isu kecederaan. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, timbul sedikit kegusaran kerana rekod terdahulu menyaksikan pemain berusia 28 tahun berkenaan kerap mengalami kecederaan sehingga menyaksikannya tersisih.
Sekiranya isu berkenaan berlaku, ia pasti akan menyukarkan pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama sepanjang musim.
Berdasarkan perkongsian di laman sesawang transfermarkt, Cvetkovic pernah ketinggalan 23 perlawanan pada musim 2022/23 bersama FC Aarau kerana penyakit misteri yang tidak dikenal pasti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram