Mula bersinar dengan Terengganu buat fans Selangor kesal tak dapat sambar Akhyar


  • Podium
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Akhyar mula membuktikan kualiti dan nilainya dalam dua perlawanan persahabatan Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

SETELAH beberapa tahun memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid mengambil keputusan menyertai Terengganu FC secara pinjaman.

Penyerang sayap yang dikenali dengan kelincahan di atas padang itu disambar dengan hasrat Tomislav Steinbruckner mampu menghidupkan semula kariernya.

Melihat kepada situasi skuad Sang Penyu musim lalu, pemain kelahiran Kedah itu semakin hampir untuk beraksi dengan kerap musim depan.

Setakat ini, Akhyar sudah beraksi dalam dua aksi pramusim bersama Terengganu FC, iaitu ketika berdepan Selangor FC II dan PDRM FC.

Persembahan dipamerkannya dalam kedua-dua perlawanan itu membuktikan langkah skuad Sang Penyu berkenaan berbaloi dalam memperkuatkan jentera serangan mereka musim depan.

BACA LAGI: Kembali ke Terengganu, Ott sedia jadi 'perampas' demi kukuh posisi

Akhyar Rashid celebrates his goal against Ulsan Hyundai. - Photo by JDT FC

Akhyar lebih kerap memanaskan bangku simpanan sepanjang bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong kelab Pantai Timur tersebut cukup tertarik dengan sumbangan yang mampu diberikan pemain kebangsaan itu.

Malah, kehadirannya berkenaan turut seakan-akan dicemburui peminat setia Selangor FC yang seakan-akan cemburu akan kejayaan Terengganu FC mendapatkan khidmat Akhyar.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Akram al-Banjariy berasakan hal demikian kerana kualiti dimilikinya mampu memberi dimensi baharu dalam jentera serangan pasukan.

"Akhyar ni sebenarnya elok jika Selangor FC dapatkannya kerana dia boleh digilirkan dengan Faisal Halim di posisi sayap kiri. Ini kerana kita akan beraksi di Asia musim depan, jadi memerlukan skuad lebih mantap.

"Jika Faisal cedera, digantung tanpa sebab munasabah atau kehilangan rentak, susahlah jika tiada sesiapa yang boleh gantikannya," katanya.

BACA LAGI: DNA Terengganu makin dapat perhatian, fans Croatia bangunkan laman khas demi Sang Penyu

2280943

Akhyar boleh beraksi sekiranya Faisal tidak dapat diturunkan. Facebook/Selangor FC

Musim lalu, Akhyar hanya merekodkan empat gol dalam semua pertandingan, termasuk satu jaringan kemenangan ketika berdepan Ulsan Hyundai dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Catatan itu sememangnya cukup berbeza berbanding Faisal yang muncul penjaring terbanyak tempatan Liga Super dengan 12 gol dalam 23 penampilan.

Tetapi, kebolehan dimiliki Akhyar, terutamanya dalam membawa bola melepasi benteng lawan cukup dikagumi selain penting buat skuad Gergasi Merah.

Pandangan Mohd Akram itu turut diakui beberapa penyokong lain yang turut mengharapkan Selangor FC mampu menyambar khidmatnya setelah kontraknya bersama JDT berakhir.

430766848_393963380011769_1149017268534278516_n

Kemampuan Akhyar untuk menghidupkan semula kariernya bersama skuad Sang Penyu menjadi persoalan. Facebook/Terengganu FC

"Kalau saya jurulatih, saya akan letakkan dia sebagai pemain tengah supaya dia bebas ke mana-mana. Ini kerana dia memiliki kawalan bola yang baik untuk bantu rakan sepasukan," kata Tom Cook.

"Tunggu habis kontrak dia dengan Johor. Jadi, pihak pengurusan boleh melakukan tugas dalam diam. Selepas sudah sah, barulah diumumkan," kata Wiwi Neymar.

Selain Akhyar, beberapa pemain baharu turut disambar Terengganu FC, termasuk seorang lagi penyerang JDT, Safawi Rasid serta pemain tengah dari Croatia, Marin Pilj.

Kemasukan itu dianggap penting dalam misi pasukan menambah baik kedudukan akhir musim depan, lebih-lebih lagi dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram