Hanya pilih kelab Utara aksi pemanas badan, Terengganu pandai ukur baju di badan sendiri elak masalah gaji


  • Podium
  • Selasa, 26 Mac 2024

Terengganu dilaporkan akan mengadakan beberapa siri aksi pemanas badan. — Facebook/TFC

KEADAAN semasa kewangan Terengganu FC (TFC) memaksa skuad Sang Penyu melupakan hasrat untuk melakukan kempen pramusim di luar negara dan memilih beberapa pasukan tanah air sahaja sebagai lawan untuk aksi pemanas badan.

Pengarah Sukan Terengganu Football Club Sdn Bhd, Zulfadli Rozi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos dan kesediaan pasukan lawan selaras usaha kelab yang juga untuk mengurangkan kos operasi musim ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di media sosial pada Selasa, pasukan Pantai Timur itu memilih Lembah Klang sebagai destinasi pertama untuk mengadakan tiga siri perlawanan pramusim.

"Sabagai permulaan, pasukan Terengganu FC akan mengadakan tiga siri perlawanan pramusim di Lembah Klang bermula 31 Mac sehingga 4 April 2024.

"Kelab ini juga akan menganjurkan perlawanan jemputan empat penjuru yang akan melibatkan pasukan Terengganu FC, Terengganu FC II, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC di Kuala Terengganu bermula 17 April sehingga 21 April 2024,?" katanya.

Keputusan Terengganu mengorbankan kempen pramusim di luar negara berkenaan mendapat pujian penyokong dan disifatkan langkah awal untuk mengelak masalah tunggakan gaji berlaku di pertengahan musim.

BACA LAGI: Lepas sebulan berteka-teki, nasib Kelantan FC dalam Liga Super akhirnya terjawab

BACA LAGI: Ramai sokong keputusan MFL tolak rayuan Kelantan FC ke Liga Super 2024/25

Pada tahun lepas, Kedah memilih Bangkok, Thailand sebagai lokasi pramusim 2023 dengan memilih pasukan divisyen tiga, Bangkok FC dan kelab Superliga Denmark, Odense BK sebagai lawan.

"Setuju 100 peratus. Itu kehendak bukan keperluan. Ukur baju di badan sendiri. Mungkin boleh gunakan kewangan itu ke arah yang lebih diperlukan," kata penyokong Terengganu, Kamal Mohamad.

"Tiada hal buat dalam negara. Ukur baju di badan sendiri, lawan tetap lawan," bagi penyokong Sang Penyu, Ahmadi Maliki.

"Betul keputusan itu. Ada duit lebih kita buat cara lebih, tiada duit kita buat cara tiada duit. Yang penting gaji tidak sangkut," kata penyokong TFC, Syafiq Asyraaf.

Sementara itu, Zulfadli turut berkongsi bahawa dua siri perlawanan persahabatan melibatkan Terengganu akan menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) untuk menguji sistem itu akan dilangsungkan pada 28 April dan 3 Mei ini.

Tambahnya, dua perlawanan itu juga dilihat sebagai persiapan terakhir pasukan menjelang saingan Liga Malaysia yang bakal bermula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram