BERBAKI seminggu sahaja lagi, tempoh semakan mengemas kini pendaftaran profil dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan ditutup pada 31 Mac ini.
PADU merupakan sistem diwujudkan untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan.
Ia berperanan bagi memastikan kumpulan yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan.
BACA LAGI: Jangan bebankan guru, masalah buli hanya boleh selesai jika ada jawatan warden
Sistem PADU yang akan ditutup pada 31 Mac ini.
PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memudahkan penyasaran subsidi dan bantuan sosial bagi menambah baik program pemberian tunai, kebajikan, perlindungan sosial dan jaringan keselamatan sedia ada dengan tujuan menangani ralat pengecualian atau inklusi, penyalahgunaan dan ketirisan.
Pelaksanaan sistem tersebut juga menerima pelbagai respons dan kritikan daripada orang ramai kerana tidak yakin dengan keselamatan maklumat pribadi yang disimpan.
Namun, di sebalik kebimbangan itu, PADU sudah merekodkan sebanyak 30.08 juta individu yang mendaftar manakala, seramai 7.36 juta orang mengemas kini sistem tersebut setakat Sabtu.
Ia bagaimanapun masih menjadi perbualan hangat dan ramai yang masih tidak berpuas hati terutamanya penjawat awam terhadap keperluan menyimpan data dalam sistem itu.
Hal ini kerana, ada yang menganggap bahawa terlalu banyak sistem seakan-akan sama dengan PADU dilaksanakan untuk menyimpan maklumat peribadi rakyat.
Seperti yang diluahkan kepada Majoriti baru-baru ini, kelompok penjawat awam berasa tertekan apabila diwajibkan mengisi pangkalan data itu sedangkan mereka sudah mengisi beberapa sistem yang memerlukan maklumat hampir sama sebelum ini.
Malah antara wakil rakyat paling lantang menyuarakan isu ini termasuk pemimpin MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang pernah membangkitkan kepincangan sistem PADU di Parlimen dan media sosial.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga mempersoalkan kos untuk membina sistem PADU yang menelan belanja sehingga RM80 juta.
"Ingat, peruntukan RM80 juta telah dibelanjakan untuk membina sistem PADU. Terus terang, saya nak kata kos ini tidak murah. Tak boleh ke kita kemaskini serta menaiktaraf saja sistem e-kasih yang digunakan selama ini," katanya.
Malah netizen juga menyokong kenyataan Ka Siong dengan mengatakan kerajaan sudah ada sistem untuk mendapatkan maklumat rakyat terutamanya penjawat awam.
Justeru, berikut merupakan antara sistem lain yang diperlukan diisi terutamanya bagi penjawat awam.
1. EPSA
BACA LAGI: Menteri Sarawak samakan daftar PADU ibarat 'telanjangkan diri', warganet jadi tambah keliru
Sistem untuk mengumpul data tentang kursus yang diambil oleh guru.
E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) merupakan portal khas bagi penjawat awam khusus buat para guru untuk mendaftar kursus secara dalam talian bagi mengumpul mata kredit Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM).
Portal yang dibangunkan khas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia itu bertujuan bagi mengakses Sistem Pengurusan Latihan Guru (SPLG).
Manakala, SPLG pula adalah sistem untuk merekod kursus yang dihadiri oleh guru dan kakitangan pendidik yang dahulunya dikenali sebagai SPLG KPM.
Segala proses pengumpulan data dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, tepat dan efektif menerusi sistem tersebut.
Sistem EPSA juga adalah satu daripada inisiatif kerajaan Malaysia untuk menggalakkan lagi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada penjawat awam.
Pendaftaran keahlian EPSA hanya sekali sepanjang perkhidmatan dan layak diisi setiap penjawat awam sama ada pra, semasa atau selepas perkhidmatan.
2. E-Operasi
E-Operasi khas untuk pendidik di bawah KPM.
Sistem e-Operasi adalah sebuah sistem pangkalan modul untuk pengurusan guru yang dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), KPM dan diseliakan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) serta Sektor Operasi Pendidikan (SOP) KPM.
Sistem itu ditubuhkan bagi memudahkan tugas perguruan iaitu secara dalam talian.
Antara maklumat yang boleh diterima dan dikongsikan dalam sistem tersebut termasuklah tugasan mengemas kini data, semakan status jika ada pertukaran lokasi dan tempat (semakan penempatan guru) melalui Borang Status Kedudukan Guru (BSKG) dan banyak lagi.
Semua guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) perlu membuat semakan maklumat dan mengesahkan mengikut capaian pentadbir.
3. Celik Digital
Penilaian penjawat awam secara dalam talian.
Terdapat juga sistem penilaian penjawat awam yang mungkin tidak diketahui ramai iaitu Celik Digital.
Penilaian melalui sistem tersebut adalah dilakukan secara berterusan terhadap penjawat awam bagi memastikan mereka mempunyai literasi digital menjelang 2025.
Sistem itu juga berfungsi sebagai platform digital untuk golongan berkenaan mencari, menilai dan menggunakan maklumat dengan lebih efisien.
Pada 31 Ogos 2023, semua penjawat awam di bawah KPM diwajibkan melaksanakan penilaian dalam sistem tersebut manakala, ia diaplikasikan kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bermula Januari sehingga Jun 2024.
Sistem yang dilancarkan melalui Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital) oleh kerajaan adalah bagi menetapkan hala tuju ekonomi digital negara.
Ia juga bertujuan membina asas untuk memacu inisiatif-inisiatif pendigitalan merangkumi kluster kerajaan, kluster rakyat dan kluster perniagaan.
Setiap penjawat awam perlu melaksanakan penilaian melalui sistem itu hanya sekali dan ia melibatkan 50 soalan yang perlu dijawab secara dalam talian dalam tempoh dua jam.
4. MySejahtera
Aplikasi MySejahtera yang boleh dimuat turun di telefon pintar.
Aplikasi MySejahtera antara sistem penting untuk seluruh rakyat Malaysia di kala negara dilanda wabak Covid-19 pada 2020.
Ia diperkenalkan bagi membantu dalam pengawasan penularan wabak tersebut serta membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Pada masa sama, ia dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan maklumat awal bagi mengesan sekali gus mengambil tindakan cepat dan berkesan kepada pengguna yang dijangkiti Covid-19.
Meskipun sistem itu bukan ditetapkan khas kepada penjawat awam, namun, ia merupakan antara sistem yang paling banyak menyimpan maklumat peribadi masyarakat.
Penggunaan aplikasi tersebut juga adalah diwajibkan terutamanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan di seluruh negeri.
Ia juga berkesan untuk petugas kesihatan memantau keadaan pesakit secara virtual jika penilaian kendiri pesakit dilakukan di rumah.
Ada banyak lagi sistem yang dibangunkan kerajaan sejak peralihan ke dunia digital bagi mengumpulkan maklumat sama ada daripada orang awam atau kakitangan kerajaan seperti sistem MyIdentity, myGOV2U, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga LHDN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram