KEJADIAN menyayat hati melibatkan seorang pelajar lelaki yang maut dipukul rakan di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat lalu membuka mata ramai tentang kepentingan pengawasan pihak sekolah.
Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada waktu itu.
Kes tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya meluahkan kebimbangan mereka terhadap perkara tersebut.
BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu
Arwah Muhd Nazmie (kiri) yang maut dalam kejadian itu.
Ada juga yang tidak terlepas memberi cadangan kepada pihak sekolah agar menambah baik sistem perjawatan warden bagi menjamin keselamatan pelajar.
Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook Mohd Fadli Salleh menyarankan agar jawatan warden tidak digalas oleh para guru.
Warden secara amnya ditugaskan untuk mengawasi aktiviti pelajar di kediaman mereka seharian dan perlu bersedia jika berlaku kecemasan.
Katanya, pihak sekolah juga perlu mewujudkan jawatan tersebut bagi meringankan beban guru memikul dua tanggungjawab berat.
"Tak boleh letak beban atas bahu guru untuk jadi warden. Boleh dikatakan, tak ada guru pun nak jadi warden asrama sebab tugas berat.
"24 jam kena bersedia. Hujung minggu pun kena jaga lagi. Murid sakit pukul 3 pagi kena bawa ke hospital, pulang pukul 6 pagi. Pukul 7 pagi kena masuk kerja jadi cikgu pula," jelasnya.
BACA LAGI: Kes pelajar mati dipukul Lahad Datu: KPM tidak kompromi, minta hormati privasi keluarga mangsa
Jawatan warden disarankan tidak dberikan kepada guru. — Gambar hiasan
Bukan itu sahaja, baginya, jika tugas itu dibahagikan dengan betul, budaya buli di asrama berkemungkinan dapat diatasi kerana mempunyai pengawasan penuh daripada warden.
Cadangnya lagi, pelantikan warden juga perlu diambil kira demi memastikan kualiti kerja terjaga.
"Memang tak mampu cikgu nak awasi 100 peratus pelajar di asrama. Kalau ada warden tetap, Insya-ALLAH, budaya buli boleh dihapuskan.
"Lantik abang askar pencen, tahulah mereka disiplinkan pelajar nakal ini," jelasnya.
Sementara itu, ada juga warga maya yang berkongsi pendapat sama dan menganggap bahawa ia suatu langkah efektif untuk dilaksanakan di sekolah berasrama.
"Betul, wujudkan jawatan warden, kelayakan sekian-sekian. Boleh juga wujudkan peluang pekerjaan," komen @writtenbyizni.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi berhubung kes tersebut serta mahu memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan dalam kes berkenaan.
KPM juga memaklumkan, pihaknya akan turut menawarkan sokongan psikososial terhadap keluarga mangsa, pelajar, guru dan seluruh warga kolej berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram