SERANGAN kumpulan pengganas terhadap sebuah konsert di pinggir bandar Moscow, Rusia pada Jumaat kini dilapor mengorbankan seramai 143 nyawa.
Ini menjadikan ia sebagai serangan yang terburuk pernah dihadapi republik itu dalam tempoh kira-kira lebih dua dekad.
Serangan tersebut juga mencetuskan kebakaran besar di venue konsert berkenaan yang diadakan di Dewan Bandar Raya Crocus, Moscow.
Di tengah-tengah kedukaan dihadapi rakyat di negara itu akibat kejadian tersebut, terselit juga kisah inspirasi mengenai wira tidak didendang yang tampil menyelamatkan pengunjung ketika serangan.
Tular di media sosial mengenai aksi menyelamat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang membantu kira-kira lebih 100 pengunjung di konsert terbabit untuk menyelamatkan diri.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Serangan tersebut juga mencetuskan kebakaran besar di venue konsert berkenaan yang diadakan di Dewan Bandar Raya Crocus, Moscow. — Agensi
Menerusi klip yang tersebar di laman X, dia yang dikenali dengan nama Islam dilihat mengetuai sekumpulan individu untuk membawa mereka keluar ke tempat yang selamat.
Dilaporkan, Islam yang ketika itu bekerja sambilan sebagai penjaga pakaian di venue pada awalnya mendapati ramai pengunjung cuba untuk bersembunyi di sebuah tandas.
Bagaimanapun, menyedari apa yang berlaku, dia kemudiannya dengan segera meminta mereka untuk tidak kekal di lokasi berkenaan dan sebaliknya bergerak ke tempat lain yang lebih selamat di luar bangunan.
Berdasarkan klip tersebut, remaja berkenaan dilihat memimpin sekumpulan individu melalui satu koridor kecil dengan melintasi bilik simpanan di dewan konsert berkenaan.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memuji keberanian Islam ketika berdepan dengan detik cemas tersebut.
Menurut laporan media, kesemua pekerja di dewan berkenaan yang memiliki kapasiti 6,200 tempat duduk di pinggir barat Moscow itu sudah dimaklumkan mengenai laluan boleh digunakan dalam sebarang insiden kecemasan.
Susulan daripada kejadian tersebut, kumpulan pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu tanpa mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan mereka.
Setakat ini, seramai empat suspek penyerang sudah ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram