KEADAAN semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini sekali lagi mengecewakan penyokong bola sepak tanah air.
Ia berikutan sekeping gambar diperolehi daripada rakaman dron di atas stadium terbabit yang dimuat naik di laman YouTube mingway pada 12 Mac.
Venue yang digunakan bagi penganjuran konsert Ed Sheeran pada Februari lalu masih belum berada di tahap terbaik menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman Selasa ini.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac, pihaknya masih yakin bahawa keadaan akan menjadi lebih baik menjelang hari perlawanan.
Pandangan itu turut dilontarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengatakan penyokong perlu menunggu sehingga Selasa untuk memberi sebarang komen mengenai keadaan padang.
BACA LAGI: Lupakan duka di Muscat, tonggak Sabah FC tekad balas dendam di SNBJ
Keadaan terdahulu padang yang masih belum bersedia untuk menganjurkan aksi bola sepak.
Kedua-dua pendirian berkenaan seakan-akan tepat apabila dalam rakaman terbaru mingway, keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil lebih baik berbanding sebelum ini.
Berdasarkan video yang dimuat naik mingway pada Sabtu, rumput kelihatan lebih hijau berbanding sebelum ini dan permukaan boleh dikatakan semakin rata.
Namun, perubahan itu masih belum cukup memuaskan bagi rata-rata penyokong Harimau Malaya yang berasakan PSM masih belum melakukan tugasan terbaik mereka.
"Tolonglah tukar main di tempat lain, tidak kisahlah main dekat mana sekali pun. Janji padang elok, malu ya. Risau pemain Harimau Malaya cedera nanti," kata Apai Chigonoda.
"Masih nampak kesan, nampak gayanya akar masih belum cengkam lagi. Manakan tidak, ketika konsert sebelum ini, rumput dicabutkan," kata Rohaizat Saadon.
BACA LAGI: [VIDEO] Dron 'liar' kantoikan situasi semasa padang SNBJ, Hans Isaac beri jawapan senada Menteri KBS
Orang ramai meminta jawapan daripada Hans Isaac mengenai keadaan semasa padang SNBJ.
"Sedih, moral dan motivasi boleh terkesan tu. Macam mana lah nak beri habis-habisan kalau keadaan padang pun seperti ini," kata Wiya Akmal Ngah.
Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil pernah menerima kecaman teruk iaitu ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim dan Terengganu FC.
Ia menerima respons cukup mengecewakan daripada pelbagai pihak, termasuk pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Idris yang meminta penjelasan daripada PSM.
Bagaimanapun, bagi perlawanan kali ini, perbadanan terbabit seakan-akan yakin bahawa ia akan menjadi lebih baik untuk menganjurkan aksi antara Harimau Malaya dan Oman.
Malah, Hans Isaac turut senada dengan hal itu apabila tampil dengan pendirian berani dalam mengajak orang ramai untuk ke stadium menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram