[VIDEO] Dah tahap kemarau kritikal, 3 air terjun di Kedah habis kering-kontang


  • Massa
  • Selasa, 19 Mac 2024

Keadaan Air Terjun Seri Perigi dengan ketinggian melebihi 100 meter yang kelihatan kering-kontang.

CUACA panas dan kemarau berpanjangan akibat fenomena El-Nino yang melanda Malaysia ketika ini menyebabkan sumber air di sesetengah kawasan menjadi kering-kontang.

Antara kawasan yang terkesan termasuk Air Terjun Sungai Badak, Taman Eko Pelancongan Titi Hayun dan Air Terjun Seri Perigi yang berlokasi di Yan, Kedah.

Perkara itu turut dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook jiemarineros yang memaparkan keadaan terkini dua pusat peranginan popular di negeri Jelapang Padi itu.

Berdasarkan rakaman yang diambil pada Ahad, dapat dilihat Air Terjun Seri Perigi dengan ketinggian melebihi 100 meter sudah kering-kontang.

Rakaman sama juga menunjukkan tiada aliran air dari air terjun hingga tanah di dasar sungai kelihatan kering.

BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Saya mualaf, masih banyak perlu belajar’, Ricky Shane Ca mohon maaf hina Islam, dibawa ke balai selepas 6 jam dikepung bawah rumah di Sabah

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, terdapat satu kawasan di Kedah berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) iaitu Pokok Sena.

Menurutnya, tahap Gelombang Haba bermakna suhu maksimum harian boleh mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Selain itu, terdapat 19 kawasan di Semenanjung yang berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perlis, (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar) Kedah, (Kampar, Kuala Kangsar dan Kinta) Perak, (Raub dan Temerloh) Pahang, (Kuala Selangor dan Sepang) Selangor, Kuala Lumpur dan (Muar dan Batu Pahat) Johor.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di negara ini sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.

MetMalaysia dalam kenyataan pada Isnin memberitahu, berdasarkan analisis model-model cuaca, situasi itu berlaku di kebanyakan lokasi di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.

"Bagaimanapun, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku terutamanya di barat Semenanjung dan utara Sarawak pada lewat petang dan awal malam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram